GERIK: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di anak sungai kawasan Air Rengat Temenggor, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat lelaki itu mendapati punca kematian adalah disebabkan terdedah kepada persekitaran yang sejuk.
“Berdasarkan keputusan bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Gerik hari ini, tiada unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa.
“Mangsa kemungkinan terjatuh dari tempat tinggi sebelum dibawa arus sungai semasa hujan lebat sehingga mayatnya ditemukan di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Semalam media melaporkan, mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak berbaju ditemukan tertiarap dalam anak sungai oleh seorang lelaki Orang Asli pada pukul 8.25 pagi.
Pemeriksaan pada fizikal mangsa menemukan kesan luka di kepala yang mungkin disebabkan oleh terjatuh.
Bagaimanapun, identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai bersamanya di lokasi kejadian. – UTUSAN