Tiada masalah berhubung pelaksanaan program SARA - Fahmi Fadzil

Tiada masalah berhubung pelaksanaan program SARA – Fahmi Fadzil

FAHMI Fadzil (tiga dari kiri) berbual bersama seorang warga emas yang baru sahaja membuat penebusan bantuan SARA di sebuah pasar raya mini di Kubang Semang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Tiada sebarang masalah atau isu berbangkit berkaitan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) khususnya selepas memasuki minggu kedua pelaksanaan program bantuan tersebut ketika ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau dimaklumkan oleh pengusaha premis yang terlibat dengan program itu bahawa, dalam masa sehari, secara puratanya, terdapat antara 150 hingga 200 pemegang MyKad akan menebus bantuan berkenaan.

“Di bawah program SARA ini, saya lihat tidak ada apa-apa masalah. Label (produk yang terlibat) saya nampak sangat jelas dan barang-barang pun tak ada masalah.

“Stok beras saya tengok banyak, telur pun stoknya lebih daripada 50 peratus. Jadi, saya sangat berpuas hati dengan pelaksanaan program ini,” katanya.

Terdahulu, beliau meluangkan masa meninjau pelaksanaan program bantuan SARA di sebuah pasar raya mini di Kubang Semang di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi memberitahu, beberapa pengunjung yang beliau temui juga menyatakan rasa terima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan program bantuan tersebut ketika ini.

“Saya dapati memang penggunaan MyKad bagi tujuan penyampaian bantuan seperti SARA adalah sangat tepat buat pemegang MyKad di negara ini,” ujar beliau.

Justeru, beliau yakin penggunaan MyKad untuk program-program lain seperti cadangan pelaksanaan bantuan bersasar untuk petrol RON95 selepas ini juga adalah tepat.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau akan meminta supaya Kementerian Kewangan (MOF) mengeluarkan statistik terkini berhubung penebusan bantuan di bawah program SARA ketika ini.

“Dalam tempoh seminggu yang pertama, memang jumlah yang menebus (bantuan SARA) itu sangat-sangat positif. Isu-isu yang timbul pada peringkat awal juga telah selesai dan tiada gangguan pada sistem (dilaporkan),” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN