NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan (KPM) melihat tiada keperluan untuk memansuhkan matrikulasi kerana sistem itu dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) khususnya memiliki keistimewaan tersendiri dalam memenuhi merit bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke universiti awam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, selain itu, kedua-dua peringkat pengajian juga telah berada dalam sistem pendidikan negara sejak sekian lama.
“Saya mengikuti debat mengenai isu (pemansuhan) ini. Cuma, saya ingin nasihatkan supaya perbincangan ini tidak keterlaluan.
“Jadi, saya fikir, dalam keadaan hari ini, janganlah kita bertelagah dalam isu-isu yang tidak mendatangkan apa-apa makna selain mengundang persepsi yang tidak baik kepada kedua-dua program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Kongres Prauniversiti Madani Peringkat Negeri Pulau Pinang di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) Nibong Tebal di sini, hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) menerusi presidennya, Tang Yi Ze, menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang agar menuntut program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.
Bagaimanapun, persatuan itu kemudiannya tampil memohon maaf susulan perkataan ‘mansuhkan’ program matrikulasi yang digunakan itu mungkin menimbulkan salah faham sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya akan terus komited dalam menambah baik mutu pendidikan bagi memartabatkan pelajar Tingkatan Enam yang mengambil peperiksaan STPM menerusi cadangan yang diterima dari semasa ke semasa.
“Jadi, dengan adanya komitmen di peringkat KPM yang telah pun menjenamakan semula Tingkatan Enam ini, kemudian, kita tambah baik dalam konteks program-program dan juga memberikan mereka keupayaan dalam sudut kepimpinan dengan melaksanakan pilihan raya dan sebagainya, pastinya dapat memartabatkan pelajar ini,” katanya.-UTUSAN










