Tiada kapal tarik diri, GSF terus berlayar ke Gaza

Tiada kapal tarik diri, GSF terus berlayar ke Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang menarik diri walaupun berdepan pelbagai ujian termasuk serangan dron, masalah logistik dan cuaca buruk ketika pelayaran menuju Gaza.

Peserta misi, Rahmat Ikhsan berkata, apa yang berlaku hanyalah segelintir individu terpaksa menarik diri atas komitmen kerja dan keluarga, namun semua kapal kekal dalam misi.

“Tiada kapal tarik diri. Yang ada hanyalah peserta perseorangan kerana masing-masing ada komitmen. 

“Contohnya ada doktor yang terpaksa akur selepas cuti tanpa gaji terlalu lama dan diugut diberhentikan kerja oleh majikan. Itu bukan soal kelemahan, sebaliknya kerana tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini. 

Menurutnya, kapal flotila pernah diserang dron ketika berlabuh di Pelabuhan Sidi Bou Said, Tunisia sehingga mengalami kerosakan dan terpaksa dibaiki selain polis negara itu membuka siasatan. 

Tambahnya, keadaan itu juga menyebabkan kapal dipindahkan ke pelabuhan lain yang lebih selamat.

“Masalah logistik berlaku apabila bekalan makanan dan peralatan sukar dihantar selepas kapal terpaksa berpindah ke utara Tunisia. 

“Perjalanan juga tertangguh kerana cuaca buruk dan sekali lagi kami diserang lebih 10 dron berhampiran perairan Itali,” katanya.

Rahmat berkata, misi itu kini sudah melepasi separuh perjalanan dan dijangka tiba di Gaza dalam tempoh enam hingga tujuh hari lagi.

“Walaupun kepenatan mental dan kewangan, kami tetap teruskan. Ada peserta selebriti seperti Zizi Kirana dan Ardell Aryana yang sanggup korbankan punca pendapatan sepanjang sebulan lebih bersama misi ini. 

“Saya sendiri menggunakan hasil ceramah sebelum ini bagi menampung kos,” katanya. 

Kata beliau, semua cabaran yang dihadapi pengorbanan kecil jika dibandingkan dengan janji Allah dan Nabi Muhammad.

“Kami ingin segera sampai untuk menyalurkan bantuan susu bayi, tuala wanita dan keperluan perubatan untuk rakyat Gaza,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×