Tiada bukti PM miliki 20 akaun bank luar negara termasuk Israel -SPRM

Tiada bukti PM miliki 20 akaun bank luar negara termasuk Israel -SPRM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada bukti mengesahkan berhubung dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank luar negara termasuk di Israel.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pihaknya mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh dikaitkan dengan dakwaan tersebut.

SPRM berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai kandungan yang tular di aplikasi TikTok berhubung dakwaan itu seperti disebut dalam sidang Parlimen pada 2013.

“SPRM ingin menegaskan bahawa siasatan terhadap dakwaan tersebut telah dijalankan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1999. 

“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang bukti atau keterangan yang boleh mengaitkan beliau dengan kesalahan jenayah rasuah atau salah guna kuasa pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SPRM memberitahu, penjelasan mengenai hasil siasatan tersebut turut dinyatakan dalam akuan bersumpah oleh bekas Pengarah siasatan BPR ketika itu iaitu Datuk Abdul Razak Idris pada 2009.

Sebagai rekod, WikiLeaks juga telah menafikan pernah menyiarkan sebarang senarai akaun bank milik Perdana Menteri seperti yang didakwa semasa sidang Parlimen berkenaan

Berita berkenaan pernah disiarkan di akhbar media tempatan bertajuk ‘Dah 5 tahun baru Wikileak nafi’ bertarikh 5 Oktober 2018.

“Sehubungan itu, SPRM ingin mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat atau menjejaskan reputasi mana-mana individu tanpa asas yang sah. 

“Penyebaran maklumat tidak sahih boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu ketenteraman awam,” jelas kenyataan itu.

SPRM berkata, pihaknya komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berintegriti selaras dengan undang-undang negara. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN