SUNGAI PETANI: Syarikat pengangkutan yang berdaftar di bawah program Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) boleh membuat tuntutan bayaran balik tunai RON95 meski belum menerima kad fleet masing-masing selepas tarikh pelaksanaan, Selasa depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, mereka hanya perlu mengemukakan rekod telah mendaftar di bawah SKPS dan telah memohon kad fleet sebelum atau pada 31 Oktober depan.
Katanya, kemudahan itu disediakan bagi membolehkan syarikat berkaitan membuat tuntutan perbezaan harga RON95 yang telah dibayar pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga subsidi SKPS iaitu RM2.05 seliter.
“Kenderaan-kenderaan syarikat terlibat yang belum menerima kad fleet akan membeli dahulu petrol RON95 pada harga sekitar RM2.60 perliter tetapi kemudian mereka boleh menuntut semula lebihan bayaran dengan syarat ditetapkan.
“Permohonan bayaran balik tunai boleh dibuat melalui platform SKPS dan kesemua tuntutan bayaran balik tunai wajib disokong dengan bukti resit pembelian RON95 yang dimuat naik dalam SKPS,” katanya pada sidang akhbar sempena Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Utara hari ini.
Katanya, pembayaran balik tunai itu adalah untuk tempoh pembelian petrol mulai 30 September sehingga 31 Oktober depan atau sehingga tarikh kad fleet diterima syarikat pengangkutan, yang mana lebih awal.
Tambah beliau, pembayaran balik tunai akan dikreditkan ke dalam akaun bank syarikat oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh 15 hari bekerja selepas proses semakan selesai oleh pentadbir SKPS di KPDN.
Sementara itu, rekod pendaftaran SKPS setakat semalam telah melibatkan 5,233 syarikat dengan 12,955 kenderaan yang tergolong dalam 21 kategori pengangkutan yang layak bagi sektor darat awam dan darat barangan.
“Rekod awal anggaran kenderaan yang layak di bawah SKPS adalah sekitar 100,000 buah, namun jumlah yang mendaftar masih jauh daripada jumlah sebenar. Jadi kita harap mereka daftar segera untuk menikmati subsidi RON95,” katanya.
Ditanya tentang kuota pengisian di bawah SKPS, Armizan berkata, had siling untuk subsidi petrol RON95 akan mengikut kategori kenderaan disebabkan penggunaan yang berlainan mengikut jenis kenderaan. – UTUSAN









