Hampir 8,000 pemandu teksi masih tidak layak mohon subsidi

Hampir 8,000 pemandu teksi masih tidak layak mohon subsidi

ABU Bakar Hamzah (lapan dari kiri) bersama pemandu teksi dalam Program Pendaftaran Subsidi Bahan Bakar Petrol di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dianggarkan 8,000 pemandu teksi di seluruh negara masih tidak layak memohon bantuan subsidi petrol menerusi pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) berikutan masalah tertentu.

Presiden Gabungan Teksi Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, pemandu yang tidak layak memohon bantuan subsidi tersebut terdiri dalam kalangan mereka yang menyewa dengan syarikat dan pemilik teksi, pajakan serta pemandu teksi limo lapangan terbang. 

Katanya, mereka tidak mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berikutan hanya menyewa dan secara tidak langsung tidak boleh untuk memohon.

Justeru, beliau berharap isu pemandu teksi yang tidak layak memohon mendapat bantuan subsidi petrol tersebut dapat diselesaikan dengan sebaiknya. 

“Isu berkenaan perlu diberi perhatian berikutan terdapat kumpulan-kumpulan tertentu dalam kalangan pemandu teksi di negara ini didapati tidak layak untuk memohon inisiatif tersebut. 

“Berikutan itu, GTSM telah panjangkan perkara itu kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) termasuk Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh untuk diselesaikan segera,” katanya ketika ditemui selepas Program Pendaftaran Subsidi Bahan Bakar Petrol di Hotel Putra Brasmana di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Abu Bakar Hamzah.

Kamarudin berkata, GTSM sememangnya menghargai pemberian subsidi tersebut, namun kerajaan juga diharap dapat melakukan kajian semula bagi mencari mekanisme terbaik melibatkan pemberian subsidi itu.

“Kadar RM2.05 tersebut, sebenarnya masih tidak cukup untuk pemandu teksi menampung kos operasi dan kalau kita lihat, penggunaan kenderaan berkuasa bahan api gas asli mampat (NGV) dahulu lebih murah.

“Jadi kita harap kerajaan dapat lihat semula perkara itu dan mempertimbangkan agar pemberian subsidi itu lebih banyak mungkin kepada RM1.60 bersesuaian dengan keadaan masa sekarang,” katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, kebanyakkan pemandu teksi adalah terdiri dalam kalangan golongan veteran yang sukar untuk memahami proses pendaftaran dalam sistem berkenaan bagi mendapatkan subsidi itu.

“Jadi melalui pendekatan yang kita buat ini, kita panggil semua pemandu teksi di seluruh Perlis bagi membantu pendaftaran tersebut. Kita mahu pemandu teksi menerima manfaat melalui inisiatif yang diberikan oleh kerajaan itu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×