MELAKA: Keupayaan hospital-hospital swasta di negeri ini mengadaptasi teknologi moden menjadi faktor utama keyakinan pesakit luar negara memilih Melaka sebagai destinasi rawatan perubatan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, perkembangan pesat sektor kesihatan swasta turut menyokong hasrat kerajaan negeri menjadikan pelancongan kesihatan sebagai antara penyumbang utama kedatangan pelancong.
“Pusat perubatan di Melaka kini dilengkapi kemudahan moden dan berteknologi tinggi, termasuk mesin pembedahan robotik yang memberi keyakinan kepada pesakit antarabangsa.
“Melaka bukan sahaja terkenal dengan tarikan sejarah dan budayanya, tetapi juga semakin diyakini sebagai destinasi rawatan berkualiti dunia,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Mesin Pembedahan Robotik Hinotori di Pusat Perubatan Mahkota di sini, semalam.
Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri menyasarkan dua juta pelancong kesihatan daripada keseluruhan 20 juta pelancong sempena Tahun Melawat Melaka yang dilanjutkan sehingga 2026 (TMM 2026).
“Tahun ini sahaja, kita jangkakan kira-kira 16.5 juta pelancong. Sudah tentu dalam pelan induk pelancongan negeri, sektor kesihatan diberi penekanan khas kerana potensi besar untuk menarik lima hingga 10 peratus daripada jumlah pelancong keseluruhan.
“Kerajaan negeri memberi kepercayaan kepada hospital-hospital swasta untuk meningkatkan prestasi mereka agar Melaka terus dikenali sebagai hab pelancongan kesihatan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










