IPOH: Syarikat automotif China, BYD akan menjadi pelabur utama kawasan industri baharu KLK TechPark di Tanjung Malim, yang bernilai pembangunan kasar RM3.5 bilion.
KLK TechPark merupakan projek hartanah seluas 600 hektar terletak berdekatan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) iaitu kawasan perindustrian yang dipacu oleh syarikat automotif negara, Proton.
Projek itu merangkumi 520 hektar tanah untuk pembangunan industri dan 80 hektar kawasan kediaman, yang akan dibangunkan secara berfasa dari tahun 2025 hingga 2035.
Fasa pertama menyaksikan BYD sebagai pelabur utama membabitkan fasiliti seluas 150 ekar, dengan kerja-kerja infrastruktur utama disasarkan siap pada akhir 2026.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad percaya perkembangan itu mampu menarik lebih banyak pemain industri automotif dan yang berkaitan.
Katanya, keadaan itu disokong lagi dengan pembangunan Pusat Pengujian Automotif Kebangsaan (NATC) yang terletak di Sungkai.
“Saya percaya selepas ini akan ada lagi apabila sudah menyediakan ekosistem yang baik. Kalau betul-betul berjaya mendapatkan projek NATC di Sungkai, ia adalah pelengkap ekosistem kepada semua pengeluaran automotif.
“Kita minta NATC dibangunkan di Sungkai sebab mengambil kira lokasi itu terletak bersebelahan Selangor yang mempunyai kilang pengeluaran Perodua. NATC akan menggamit lebih banyak pemain industri untuk datang ke Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majis pelancaran KLK TechPark yang diusahakan oleh KLK LAND iaitu anak syarikat milik penuh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) di sini hari ini.
BYD dikenali sebagai sebuah syarikat teknologi tinggi dari China yang terlibat dalam pembuatan kenderaan elektrik (EV), bateri dan elektronik. – UTUSAN