KUANTAN: Pindaan terhadap Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 perlu dilakukan untuk menaikkan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 ke RM100,000 kepada hukuman gantung sampai mati.
Peguam Mohd. Fadzli Mohd. Ramly berkata, ini kerana beban pembuktian memandu mabuk sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya di bawah Seksyen 44 APJ 1987 adalah lebih ringan berbanding Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Sekiranya keluarga mangsa memaafkan tertuduh, maka mahkamah boleh mentaksirkan satu jumlah pampasan dibayar kepada keluarga mangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Fadzli berkata, untuk membuktikan kes bunuh di bawah Seksyen 302 adalah sangat tinggi dan ketat.
“Dalam kes berkenaan, tertuduh mudah untuk dibebaskan sekiranya gagal membuktikan elemen-elemen bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau memberi contoh kes pada 2020 apabila seorang peraih ikan, Teoh Kian Peng, 42, yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk merempuh kereta dipandu seorang kakitangan Alam Flora.
Katanya, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Setahun kemudian, tuduhan terpaksa dipinda ke pertuduhan mengikut Seksyen 44 APJ 1987.
“Hakim Mahkamah Tinggi mengenakan bon berkelakuan baik dan denda RM8,000 atau penjara empat bulan, selain perlu mematuhi syarat tidak boleh menyertai aktiviti berkaitan alkohol selama dua tahun,” katanya. – UTUSAN










