KUALA TERENGGANU: Siapa sangka kain perca yang sering dibuang atau dianggap tidak berguna mampu menjadi sumbertambahan buat keluarga.
Itu dilakukan Zawiah Abdul Majid, 40, seorang suri rumah dari Kampung Darat Batu Rakit di sini yang menjana pendapatan sampingan dengan menjahit alas kaki, alas periuk dan pelapik cawan berwarna-warni menggunakan kain perca.
Zawiah berkata, alas kaki unik dihasilkannya bukan sahaja menarik perhatian penduduk setempat, malah pelanggan dari luar negeri ini turut membuat tempahan.
“Saya mula menjahit alas kaki ini sejak 15 tahun lalu. Pada mulanya, sekadar untuk kegunaan sendiri kerana sayang nak buang kain lebihan menjahit baju.
“Lama-kelamaan, kawan-kawan dan jiran mula menempah. Dari situlah timbul idea untuk menjadikannya sebagai sumber pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zawiah berkata, setiap alas kaki dijahit secara manual menggunakan mesin jahit lama miliknya.
Katanya, harga jualan bergantung kepada saiz dan jenis kain digunakan, namun kebanyakannya dijual antara RM8 hingga RM15, iaitu harga mampu milik bagi kebanyakan pelanggan.
“Saya pentingkan kualiti. Walaupun guna kain terpakai, setiap alas kaki perlu tahan lama, kemas dan selesa. Kalau pelanggan puas hati, mereka datang semula,” katanya.
Selain menjual secara langsung kepada penduduk sekitar, Zawiah turut memanfaatkan platform media sosial untuk mempromosikan produknya.
Katanya, produk hasil tangannya itu mendapat permintaan dari luar Terengganu termasuk Selangor, Johor dan Pahang dengan tempahan melalui media sosial dan dihantar menggunakan pos.
“Kadangkala tempahan banyak tetapi saya tidak sempat siapkan segera sebab semuanya buat sendiri. Saya harap nanti dapat buka bengkel kecil dan ajar wanita lain pula,” katanya. – UTUSAN










