PETALING JAYA: Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mahu mengambil tindakan terhadap perwakilan kerana didakwa menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai Presiden parti menimbulkan persoalan.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, desakan “Turun Tan Sri” yang bergema dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu baru-baru ini merupakan suara akar umbi, namun ironinya, mereka yang menyuarakan pandangan itu pula berdepan risiko dipecat.
“Kenapa mereka mahu dipecat? Bukankah itu suara perwakilan dalam badan tertinggi Bersatu sendiri? Di mana letaknya demokrasi dalam parti itu,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Pada masa sama, Mohd. Puad turut membidas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang mendakwa parti itu wujud kerana menentang kleptokrasi, salah guna kuasa dan rasuah.
Katanya, kenyataan tersebut hanyalah cubaan untuk menutup imej Muhyiddin yang kini tercalar ekoran desakan perwakilan supaya beliau berundur.
“Kalau benar Muhyiddin anti rasuah, selesaikan dahulu kes mahkamah dana Wibawa. Pujuklah menantunya keluar daripada tempat persembunyian.
“Beliau tidak pernah dipecat daripada UMNO kerana menentang rasuah dan kleptokrasi. Muhyiddin dipecat kerana naik pentas pembangkang bersama DAP untuk memburukkan parti,” katanya.
Tambah Mohd. Puad, beliau adalah saksi bahawa Muhyiddin tidak pernah mengangkat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam mesyuarat MT UMNO ketika masih dalam parti itu.
“Kalau benar kerana 1MDB, sudah lama dia dipecat. Tetapi masalahnya, mana boleh hina parti sendiri di pentas lawan. Bezanya sekarang, Muhyiddin pula diminta turun di pentas sendiri dalam PAT Bersatu,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, kekecohan dan situasi tegang tercetus ketika Muhyiddin sedang menyampaikan ucapan dasar pada PAT Bersatu di Shah Alam, Selangor.
Kekecohan bermula ketika Muhyiddin dalam ucapannya menyentuh berhubung desas-desus wujud gerakan untuk mengutip tanda tangan bagi menjatuhkan beliau sebagai Presiden.
Ucapannya itu kemudiannya disambut dengan sorakan dan teriakan daripada sekumpulan perwakilan sehingga berlaku situasi di luar kawalan.
Kekecohan itu berlarutan selama beberapa minit memaksa Muhyiddin meneruskan ucapan beliau dalam keadaan para petugas cuba meredakan ketegangan yang berlaku. – UTUSAN










