Suami dituduh bunuh isteri, peniaga telefon bimbit - Utusan Malaysia

Suami dituduh bunuh isteri, peniaga telefon bimbit

SYED Al Iqbal Syed Shahruddin diiring anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Gurun, Kedah atas dua pertuduhan membunuh. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GURUN: Seorang bapa kepada dua anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dan seorang peniaga telefon bimbit pada 11 September lalu.

Tertuduh, Syed Al Iqbal Syed Shahruddin, 30, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Anis Suraya Ahmad.

Tertuduh yang merupakan pekerja swasta tiba di pekarangan mahkamah dengan kenderaan polis pada pukul 8.35 pagi tadi manakala beberapa ahli keluarga termasuk bapa tertuduh turut hadir pada prosiding itu.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Ku Mohd. Asraf Ku Shaif@Ku Shuib, 30, di hadapan sebuah rumah di Taman Nona, Guar Chempedak di Yan antara pukul 9 malam hingga 10 malam, 11 September 2025.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Al Iqbal dituduh membunuh Nurul Nur Syamira Khamis, 28, di kawasan perumahan, tarikh dan masa yang sama.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta jika tidak dihukum mati hendaklah dikenakan minimum 12 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya sementara tertuduh diwakili barisan peguam Abdul Hayyi Salim, Diyana Ibrahim dan Shameer Haziq Shaharuddin.

Mahkamah menetapkan 21 Oktober ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan kimia serta dokumen berkaitan lain. Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh.

Abdul Hayyi turut memohon agar tertuduh dihantar ke Penjara Marang, Terengganu kerana ahli keluarga tertuduh termasuk dua anak lelakinya berusia tiga dan enam tahun menetap di negeri itu, namun mahkamah tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung permohonan berkenaan.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan Nurul Nur Syamira dan Ku Mohd. Asraf ditemui maut masing-masing dengan lapan dan 20 kesan tikaman dan kelaran di Taman Nona.

Polis kemudian mendedahkan bahawa motif kejadian dipercayai akibat cemburu kerana tertuduh mempercayai isterinya mempunyai hubungan sulit dengan mangsa lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×