SPRM cadangkan kepada Peguam Negara, TPR terkait kes dadah direhatkan

SPRM cadangkan kepada Peguam Negara, TPR terkait kes dadah direhatkan

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencadangkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang ditahan polis berkaitan kes dadah semalam, direhatkan daripada menjalankan tugas.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar untuk tidak menjalankan apa-apa jua pendakwaan kes di mahkamah.

Beliau turut mengesahkan pegawai terbabit baru sahaja melaporkan diri ke suruhanjaya berkenaan pada minggu lalu sebagai ‘secondment officer’ dari Jabatan Peguam Negara.

Susulan itu, katanya, tindakan segera akan diambil dengan berbincang bersama Peguam Negara serta menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Saya sahkan yang TPR ini baru melaporkan diri, tak silap saya minggu lepas ke SPRM sebagai ‘attachment’ atau ‘secondment officer’ dari Jabatan Peguam Negara.

“Ini satu perkara yang tidak dijangka dan kes ini sedang disiasat oleh pihak polis, saya juga ada berhubung dengan Peguam Negara kerana dia (suspek) dari Jabatan Peguam Negara. Dan kami berdua serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan, sekiranya ada kes, polis boleh bawa kepada mahkamah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri ‘Integrity and Leadership Day 2025’ di Universiti Multimedia di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang TPR SPRM yang baru melaporkan diri untuk bertugas pada minggu lalu, ditahan polis berkaitan kes dadah, semalam.

SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan pegawai itu di rumahnya selepas dipercayai memiliki bahan terlarang berkenaan.

Ditanya sama ada pegawai terbabit ada menjalani tapisan kesihatan termasuk saringan dadah, Azam menjelaskan bahawa pegawai terbabit telah pun berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebelum ini dan sudah tentu telah melalui pelbagai jenis tapisan.

“Itu bukan bawah bidang kuasa kami, dia telah pun berkhidmat di Jabatan Peguam Negara yang saya jangka telah melalui segala tapisan, jadi berkemungkinan ini selepas tapisan, saya jangka begitu.

“Sudah tentu tapisan termasuk juga dipanggil ujian saringan dadah telah dibuat kepada semua penjawat awam termasuk TPR. Pada (pendapat) saya, ini adalah tindakan dia (suspek) sendiri yang mengambil dadah dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN