KUALA LUMPUR: SME Bank dijangka menjana potensi jualan sehingga RM45 juta menerusi program SME Bank XCESS 2025 yang menghimpunkan 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan 20 pembeli ASEAN dalam lebih 180 sesi perniagaan.
Pengerusi SME Bank, Datuk Muslim Hussain berkata, inisiatif itu bukan sahaja mewujudkan peluang rundingan perniagaan malah berfungsi sebagai jambatan untuk meluaskan akses ke pasaran serantau dan mengukuhkan usahawan Malaysia di peringkat global.
“SME Bank terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh keupayaan eksport usahawan tempatan.
“Inisiatif ini sejajar dengan agenda Ekonomi Madani yang menekankan pertumbuhan inklusif, mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya dalam Majlis Perasmian SME Bank XCESS 2025, di sini semalam.
Sejak penubuhannya pada 2016, XCESS telah meneraju lebih 1,800 sesi perniagaan melibatkan hampir 150,000 usahawan PKS dan bekerjasama dengan hampir 150 rakan strategik.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, SME Bank XCESS 2025 bukan sekadar acara jaringan namun membuka peluang kepada usahawan bumiputera dan PKS untuk menyertai perniagaan antarabangsa dan membina hubungan strategik antara pemain industri.
“Kita yakin usahawan tempatan mampu mencipta impak yang lebih besar bukan sahaja untuk keuntungan mereka tetapi juga untuk kecemerlangan ekonomi Malaysia di persada antarabangsa.
“Platform seperti XCESS 2025 penting bagi menyepadukan PKS Malaysia ke dalam ekonomi ASEAN melalui kerjasama strategik, memperluas akses pasaran dan mengukuhkan daya saing serantau,” katanya.
Majlis itu juga menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Medic Pets International Sdn Bhd, BEP SME Bank dan Daukey Kokpar Club dari Kazakhstan.
Kerjasama tersebut memudahkan pendaftaran produk di Kazakhstan, memperluaskan kedudukan Medic Pets di persada global dan mengukuhkan peranan BEP dalam menyokong pertumbuhan PKS Malaysia di pasaran antarabangsa. – UTUSAN










