PETALING JAYA: Singapura hari ini meneruskan hukuman gantung sampai mati terhadap warganegara Malaysia, K. Datchinamurthy, 39, atas kesalahan menyeludup dadah ke republik berkenaan.
Menurut kenyataan Biro Narkotik Pusat (CNB), hukuman mati terhadap Datchinamurthy telah dilaksanakan hari ini meskipun terdapat rayuan daripada ahli keluarga dan pertubuhan hak asasi manusia.
Katanya, Datchinamurthy disabitkan kesalahan memiliki dadah untuk tujuan pengedaran iaitu tidak kurang daripada 44.96 gram diamorphine atau heroin tulen.
“Akta Penyalahgunaan Dadah menetapkan hukuman mati sekiranya jumlah diamorphine yang diedarkan melebihi 15 gram. 44.96 gram diamorphine adalah mencukupi untuk menampung kebergantungan kira-kira 540 pengguna selama seminggu,” katanya.
Pada awal hari ini, keluarga tertuduh dimaklumkan pelaksanaan hukuman itu telah ditangguhkan, namun kemudian dikejutkan dengan makluman bahawa hukuman tersebut tetap diteruskan dan mereka diminta hadir menuntut mayat pada pukul 3 petang tadi.
Peguam, N. Surendran yang mewakili keluarga tertuduh mengecam cara pengendalian hukuman terhadap Datchinamurthy dan menyifatkan ia sebagai satu bentuk kezaliman yang tidak pernah berlaku dalam sejarah hukuman mati di Singapura.
Menurutnya, pelaksanaan hukuman itu dibuat secara sewenang-wenang, zalim dan menyalahi undang-undang serta perlembagaan.
“Ini merupakan suatu tindakan kezaliman yang tiada tandingan dalam sejarah rejim hukuman mati yang keras di Singapura.
“Memberi harapan palsu kepada Datch dan keluarganya kemudian mencampakkan mereka kembali ke dalam ketakutan dan kekecewaan adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan tidak berperikemanusiaan. Kekejaman ini dilakukan secara sengaja dan tanpa perasaan,” katanya.
Datchinamurthy ditahan bersama seorang wanita warga Singapura pada 2011 dan didakwa atas tuduhan mengedar 44.9 gram diamorphine ke republik itu sebelum dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 2015.
Sebelum ini, Datchinamurthy dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 2022, namun ditangguhkan sementara tertuduh mencabar kerajaan Singapura secara undang-undang berhubung hukuman matinya.
Awal bulan ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mendesak kerajaan menggunakan semua saluran diplomatik dan undang-undang untuk melindungi Datchinamurthy dan tiga lagi rakyat Malaysia yang berdepan hukuman mati di Singapura. – UTUSAN










