Tatkala ramai penyanyi seera dengannya berpusu-pusu mengadakan konsert solo berskala besar, penyanyi, Amelina mengakui dirinya sudah lama memasang angan-angan untuk menghiburkan peminatnya di pentas sendiri.
Namun, Amelina atau Norazlina Amir juga sedar diri bahawa pasaran dan sambutan irama dangdut tidak sekuat genre muzik lain untuk dipersembahkan dalam sebuah konsert pada zaman kini.
“Saya sangat mendambakan untuk mengadakan konset solo yang besar. Tetapi saya perlu sedar keadaan dan sedar diri kerana tidak semua pihak yakin untuk menganjurkan konsert irama dangdut.
“Saya masih lagi menerima undangan untuk membuat persembahan di acara-acara besar seperti di Sabah dan Sarawak. Malah, sambutannya juga diterima baik kerana tidak ramai tahu ada juga golongan yang masih meminati irama dangdut.
“Namun, sampai kini saya belum pernah menerima sebarang tawaran untuk mengadakan konsert solo secara besar-besaran meskipun sudah lama dalam industri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya sama ada dirinya bersedia jika ada pihak yang melamarnya untuk mengadakan konsert, Amelina optimis bakal memberikan yang terbaik memandangkan dia sudah mempunyai katalog lagu yang kukuh untuk dipersembahkan.
“Saya memang bersedia bila-bila masa sahaja jika ada pihak yang mahu anjurkan konsert solo untuk saya. Kalau boleh saya mahu adakan konsert semuanya mengenai diri saya dan perjalanan hidup saya
“Saya juga mahu sampaikan lagu genre lain untuk kepuasan diri sendiri. Lagipun lagu-lagu saya ada banyak dan rata-ratanya boleh dinyanyikan bersama penonton.
“Bukan itu sahaja, kesemua lagu yang saya ada semua orang tahu. Lagu-lagu lama saya pun generasi kini sudah tahu kerana viral di TikTok. Jika ada konsert seperti untuk saya atau artis dangdut lain saya rasa itu adalah perkara yang bagus,” jelasnya.
KONSERT DENGAN INUL
Bakal sepentas dengan penyanyi dangdut terkenal Indonesia,Inul Daratista Disember ini, penyanyi lagu Memori Daun Pisang itu memaklumkan dirinya sudah lama tidak menerima jemputan untuk membuat persembahan di sana.
Selain sibuk menerima undangan di tanah air, Amelina dengan merendah diri mengakui peminatnya di negara jiran juga sudah tidak menyengat seperti suatu ketika dahulu.
“Saya sudah lama tidak mendapat jemputan untuk membuat persembahan di Indonesia. Peminat saya di sana juga sudah tidak begitu ‘menggigit’ seperti dulu mungkin kerana saya hilang terlalu lama sebelum ini. Itu silap saya.
“Lagipun, jadual kerja saya di sini juga agak padat. Jadi buat masa sekarang ini memang tiada mana-mana pihak yang mempelawa saya untuk membuat persembahan di sana,” ceritanya.
Sedar dirinya tidak begitu menyinar seperti dahulu, penyanyi berusia 51 tahun itu mengakui kesal kerana pernah menghilang terlalu lama dari industri sebelum ini.
“Saya sudah mempunyai nama, tetapi saya tiada tarikan untuk viral itu. Mungkin itu juga antara faktor mengapa peminat saya semakin ‘mati’. Zaman sekarang pula zaman viral dari situ kita perlu ada sesuatu untuk orang lebih kenali saya.
“Saya cuma bergantung kepada lagu-lagu hits yang sedia ada. Cerita baru untuk saya itu tiada. Lagu baru pun tiada. Kalau mahu keluarkan lagu baru pun saya perlu berlawan dengan rentak lagu lama.
“Ramai generasi sekarang yang ingat lagu saya itu dikeluarkan pada zaman mereka sedangkan lagu saya sudah ada dari zaman ibu bapa mereka lagi,” ujarnya.
Mengulas mengenai konsert bersama Inul, Amelina mengakui teruja bakal sepentas dengan ratu dangdut gerudi itu di Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’ di Setia Spice Arena Pulau Pinang pada 6 Disember ini.
“Inul ibarat penyanyi lagenda dan ikon dalam industri muzik irama dangdut. Apabila dilamar untuk sepentas dengan dia, saya tidak berfikir panjang dan sangat teruja.
“Berada sepentas dengan Inul ibarat satu peluang yang baik untuk memperkenalkan dan menaikkan semula irama dangdut di Malaysia,” kongsinya.