PETALING JAYA: Sidang kemuncak mengenai penyelesaian dua negara anjuran bersama Perancis dan Arab Saudi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 22 September ini dilihat sebagai platform utama untuk memberi tekanan baharu terhadap Israel.
Geostrategis, Dr. Azmi Hassan berkata, sidang itu penting kerana menghimpunkan kuasa veto seperti Perancis bersama pengaruh dunia Islam yang diterajui Arab Saudi dalam mencari penyelesaian konkrit terhadap konflik Palestin.
“Gabungan ini memberi mesej jelas bahawa isu Palestin tidak boleh terus diketepikan, khususnya selepas kuasa veto disalah guna berulang kali oleh Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khamis lalu, akhbar ini melaporkan, AS sekali lagi menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan untuk menolak resolusi yang menuntut gencatan senjata segera, pembebasan tebusan serta pembukaan laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Resolusi yang dirangka 10 anggota tidak tetap itu menerima sokongan 14 daripada 15 negara, namun gagal kerana ditentang Washington.
Ini merupakan kali keenam AS menghalang usaha diplomatik antarabangsa untuk menghentikan peperangan yang meragut lebih 65,000 nyawa di Gaza, sekali gus menyerlahkan kelemahan sistem global dalam memberi perlindungan kepada rakyat Palestin.
Azmi berkata, selain sidang kemuncak Perancis dan Arab Saudi, Perhimpunan Agung PBB (UNGA) juga menjadi alternatif kerana setiap negara mempunyai hak mengundi tanpa kuasa veto.
“Walaupun resolusi UNGA tidak mengikat dari sudut undang-undang, ia tetap membawa tekanan moral dan politik yang besar terhadap Israel,” katanya.
Menurut Azmi, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga sedang meneliti aduan Afrika Selatan mengenai dakwaan genosid di Gaza selepas sebuah jawatankuasa PBB sebelum ini turut menyimpulkan perkara sama.
Azmi berkata, semua saluran itu perlu digerakkan kerana selagi isu Palestin dibawa ke Majlis Keselamatan, AS pasti akan menggunakan kuasa vetonya untuk melindungi Israel. – UTUSAN










