“RAMAI artis veteran hubungi saya bertanya tawaran kerja, kalau-kalau ada sebarang watak boleh diberikan kepada mereka.”
Demikian pengakuan penerbit dan pengarah filem, Datuk Yusof Haslam menceritakan keadaan pelakon veteran yang masih bersemangat untuk bekerja namun sayangnya tawaran suam-suam kuku sahaja. Kurang peluang beraksi di mana-mana projek membuatkan segelintir artis veteran hidup melarat, tidak mampu menampung hidup di hujung usia.
Oleh itu, bagi Yusof Haslam, 71, pengumuman dana terbaharu oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) iaitu Supertelefilem Bintang Veteran (Star) dianggap sebagai cahaya di hujung lorong kepada penggiat seni veteran tanah air. Bagi memperoleh dana itu, rumah penerbitan perlu memastikan 60 peratus pekerja mereka terdiri daripada pekerja berusia 55 tahun dan ke atas.
Dalam kata lain, dana tersebut bukan sahaja ‘menarik’ semula pelakon veteran menyandang karakter utama malah turut memberi kesempatan kepada kru belakang tabir untuk sama-sama terlibat dalam mana-mana kerja produksi.
“Saya puji sikap kerajaan dan Finas yang prihatin, kasihan kita lihat orang lama sebab sekarang watak bapa pun sudah semakin kurang. Jadi ini usaha yang baik untuk membantu golongan veteran.
“Ada sahaja pelakon yang sudah mencecah usia 60 hingga 80 tahun mahu tetap bekerja. Pelakon A.Galak contohnya usianya sudah mencecah 84 tahun, tapi oleh sebab saya dan dia sudah seperti adik-beradik, maka ada cerita yang saya olah memang untuk beri kesempatan dia berlakon.
“Di sinilah letaknya kreativiti pengkarya untuk mewujudkan karakter mak cik, bapa atau orang tua. Kita jangan lupa mereka golongan veteran untuk drama televisyen. Tak rugi pun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mungkin ada beranggapan cerita yang menampilkan watak utama pelakon berusia tidak akan mendapat rating yang baik ketika ditayangkan. Namun begitu, Yusof yakin bahawa kisah sederhana seperti hubungan ayah dan anak tetap mendapat sambutan yang baik khususnya dalam format drama atau supertelefilem.
“Saya sudah lupa apa judul drama itu, tapi cerita tentang seorang bapa dan kasih sayangnya kepada anak. Seingat saya drama itu mencecah dua juta penonton.
“Semua itu bukti bahawa kisah menyentuh hati dan memberikan rasa kepada penonton akan selalu mendapat perhatian. Jadi tidak betul tanggapan apabila cerita tentang orang tua, tiada orang nak tonton,” katanya.
Bagaimanapun, pemilik syarikat produksi Skop Production itu mengingatkan rumah produksi untuk sentiasa bertimbang rasa ketika mengambil golongan veteran ini untuk bekerja.
“Bila bercakap tentang kemahiran, kita perlu akur dan faham akan keadaan mereka mungkin tidak seperti zaman mereka muda. Contohnya kalau dahulu mereka boleh ingat dialog atau skrip yang panjang, kita sudah tidak lagi. Jadi, kita perlu sesuaikan keadaan.
“Saya ambil contoh macam A. Galak yang sudah berusia lebih 80 tahun, tenaganya mungkin sudah tidak sama lagi. Begitu juga Datuk Rahim Razali yang dulunya seorang pengulas sukan yang hebat. Dia ingat semua nama.
“Namun apabila sudah di hujung usia keadaan mereka sudah berbeza. Sudah lebih perlahan. Jadi rumah produksi kena faham dan bertimbang rasa,” katanya.
Sebelum ini, Finas melaksanakan dana Supertelefilem Bintang Veteran (Star) kepada 60 peratus tenaga kerja penerbitan khususnya artis atau pekerja veteran.
Syarat untuk dapatkan dana ini pula syarikat yang membuat permohonan perlu memastikan 60 peratus pekerja adalah mereka berusia 55 tahun ke atas manakala 40 peratus lagi dengan usia di bawah 55 tahun.
Permohonan boleh dibuat secara atas talian melalui laman sesawang www.finas.gov.my atau menerusi portal SPPIK di http://sppik.finas.my sehingga 7 September ini.-UTUSAN