BATU PAHAT: Seorang lelaki maut, tujuh orang cedera dan empat orang terselamat dalam nahas melibatkan tujuh buah kenderaan dihadapan Masjid Sabak Uni di Jalan. Kluang – Batu Pahat, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohamad Shamin Mohamad Salikin berkata, kejadian dimaklumkan kepada pihaknya pada pukul 10.06 pagi sebelum dua buah jentera FRT dan tiga buah RIM bersama 14 anggota diketuai Pegawai Bomba (PB) Hafizul Adzrin dikejarkan ke lokasi kejadian.
Kata, sebaik sampai di lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati benar kejadian kemalangan melibatkan tujuh buah kenderaan dengan 12 orang mangsa termasuk sebuah treler yang dipercayai terbabas.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah kereta dipercayai jenis Proton Viva berada di bawah treler berkenaan dengan seorang lelaki berusia anggaran usia antara 30 hingga 40 tahun dalam keadaan tersepit.
“Bantuan sebuah kren diperlukan untuk mengangakan treler berkenaan sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas dapat dilakukan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohamad Shamin lagi, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, mangsa yang cedera adalah tiga orang daripada lori jenis Isuzu, seorang dari lori jenis Hicom dan tiga orang dari kereta Honda HRV yang kesemuanya dewasa telah dirujuk ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan.
“Manakala empat yang selamat adalah pemandu treler, pemandu Honda HRV serta dua orang wanita dewasa yang menaiki kereta Produa Axia,” katanya. – UTUSAN









