PARIT: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi berjaya diselamatkan selepas tertimbus ketika kerja pengorekan tanah dan pemasangan paip di kawasan pengumpulan pasir sungai di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, di sini hari ini.
Mangsa yang maut berusia 20 tahun manakala yang cedera berusia 28, 36 dan 38 tahun.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 5 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Menurut saksi, tanah di sekeliling tempat yang dikorek tiba-tiba rebak dan jatuh ke dalam longkang yang digali sedalam tiga meter.
“Terdapat tiga mangsa tertimbus pada paras dada dan seorang lagi tertimbus sepenuhnya dalam tanah,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, penilaian risiko dilakukan di lokasi kejadian dan mengaplikasikan konsep SAVER dengan anggota terlibat melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan menyelamat.
Katanya, operasi turut menggunakan jengkaut bagi membuat ruangan di sekitar tempat mangsa tertimbus.
“Ketiga-tiga mangsa yang tertimbus pada paras dada itu berjaya dikeluarkan pada pukul 6.30 petang dan mereka yang cedera diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans.
“Seorang lagi mangsa yang tertimbus ditemukan pada pukul 7.59 malam dan disahkan telah meninggal dunia. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN