PETALING JAYA: Pelaksanaan bayaran sekali bagi (one-off) Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 melalui MyKad memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian dengan lebih pantas dan selamat, sekali gus melegakan penerima bantuan.
Peniaga kecil, Rina Isnawati Iskandar berkata, kemudahan “sentuh dan sahkan” menggunakan MyKad memendekkan masa berurusan di kaunter pembayaran tanpa perlu mengeluarkan tunai.

“Saya tidak perlu bawa duit banyak atau risau baki dalam e-dompet. Hanya sentuh MyKad, saya terus boleh beli beras, minyak dan keperluan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Program SARA telah mengesahkan setiap rakyat Malaysia dewasa sudah mempunyai akses terus kepada bantuan hanya melalui MyKad, tanpa pendaftaran baharu atau kad tambahan.
Prosesnya semudah menunjukkan atau menebuk MyKad, memastikan bantuan disalurkan secara adil dan telus.
Beliau yang turut menjalankan perniagaan makanan dari rumah berkata, bantuan RM100 itu sedikit sebanyak membantu menambah modal niaga.
“Saya berniaga kuih-muih sejuk beku seperti donat dan corndough (sosej bersalut tepung dan digoreng) dari rumah di Bera, Pahang, dengan mengambil tempahan awal sebelum membuat penghantaran secara tunai semasa penghantaran (COD) di sekitar Bera, Bandar Baru Serting, Bahau dan Kuala Pilah.
“Dengan wang itu, saya boleh membeli dan menambah lebih bahan mentah seperti tepung dan minyak untuk memenuhi tempahan jualan keesokan hari. Ini sekali gus mengurangkan beban peniaga kecil seperti saya,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program Penghargaan SARA sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos sehingga 31 Disember bagi membeli barangan asas di lebih 7,300 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.
Walaupun berlaku gangguan sistem pada minggu pertama penebusan di beberapa pasar raya, situasi itu sebenarnya mencerminkan permintaan tinggi yang menandakan kejayaan pelaksanaan program.
Fenomena jutaan rakyat berpusu-pusu menuntut manfaat SARA membuktikan keyakinan terhadap inisiatif kerajaan sekali gus menjadi ujian ketahanan infrastruktur digital negara.
Dalam pada itu, kerajaan menyifatkannya sebagai peluang pembelajaran untuk menambah baik program akan datang supaya lebih mantap dan lancar, mencerminkan kesediaan kerajaan meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Sementara itu, penjawat awam, Muhammad Izzuddin Rosli berkata, beliau menyambut baik pelaksanaan SARA yang disifatkan sangat membantu golongan berpendapatan rendah.
“Sebagai penjawat awam daripada keluarga B40, saya menyambut baik pelaksanaan SARA ini.
“Bantuan bayaran sekali sebanyak RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas sedikit sebanyak meringankan perbelanjaan harian, terutama bagi kumpulan berpendapatan rendah dan golongan muda yang menetap di bandar.
“Kaedah pelaksanaan melalui MyKad di kedai terpilih juga amat memudahkan kerana ia cepat, selamat dan telus, selain memberikan rasa dihargai apabila kerajaan menyalurkan bantuan secara inklusif dan praktikal,” katanya.
Beliau berkata, penggunaan MyKad terus memang sangat memudahkan kerana tidak perlu isi borang atau lalui proses rumit, hanya bawa MyKad ke kedai dan terus boleh guna untuk beli barang asas.
“Ia jimat masa, tak leceh. Pendekatan digital dan berpusat sebegini juga mencerminkan usaha kerajaan meningkatkan keberkesanan penyampaian bantuan kepada rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, kriteria kelayakan seperti MyKad sah bukan sekadar tapisan teknikal, sebaliknya mekanisme memastikan keadilan dan menyalurkan bantuan kepada warganegara yang benar-benar layak sambil melindungi dana awam.
Penyepaduan pangkalan data nasional bagi pengesahan pula menegaskan amalan tadbir urus berhemah, menjaga wang rakyat dan mengelakkan pembaziran serta penipuan. – UTUSAN










