KUANTAN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang mengambil tindakan proaktif kes enam beradik di Cherating di sini, yang tiada dokumen pengenalan diri.
Keadaan itu menjejaskan akses mereka kepada pendidikan, pekerjaan dan bantuan kerajaan.
Pengarahnya, Mohammad Abdullah berkata, kes tersebut melibatkan enam beradik berusia antara 11 tahun hingga 23 tahun yang tiada sijil kelahiran dan kad pengenalan.
“Ketiadaan dokumen pengenalan diri turut menjejaskan akses mereka kepada pendidikan, peluang pekerjaan serta kemudahan dan bantuan Kerajaan.
“Ibu tunggal Hazlina Husin, 47, turut menghadapi cabaran dalam menyara keluarga termasuk menjaga seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang terlantar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, semakan awal JPN mendapati, antara faktor utama kelewatan pendaftaran kelahiran mereka adalah disebabkan pengesahan perkahwinan ibu bapa.
“Salah satu dokumen yang diperlukan dalam proses pendaftaran kelahiran adalah dokumen perkahwinan yang sah di sisi undang-undang Malaysia.
“Isu status perkahwinan menjejaskan proses pengesahan maklumat kelahiran, menyukarkan urusan pendaftaran anak-anak Hazlina pada peringkat awal,” ujarnya.
Katanya, susulan itu, pada 3 Februari lalu, Hazlina bersama lima anaknya, penganjur serta saksi iaitu Ketua Kampung Cherating hadir ke JPN Pahang bagi melengkapkan proses permohonan Daftar Lewat Kelahiran.
“Kehadiran mereka merangkumi sesi temuduga yang sebahagian daripada keperluan rasmi pendaftaran, untuk mendapatkan pengesahan fakta serta menilai permohonan secara menyeluruh selaras dengan peruntukan undang-undang.
“Tindakan ini bagi membolehkan JPN menilai setiap permohonan dengan teliti, memastikan kelengkapan dokumen dan pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan.
“Bagi anak OKU pula, JPN Pahang menggerakkan Pasukan MEKAR (Menyemai Kasih Rakyat) untuk hadir ke kediaman mereka dan menguruskan pendaftaran secara terus di rumah. Ia sejajar pendekatan inklusif dan ihsan yang dianjurkan oleh Kerajaan Madani,” katanya.
Katanya, JPN Pahang turut memberikan khidmat nasihat dan bimbingan berterusan kepada Hazlina sekeluarga. – UTUSAN










