Sejumlah RM960.73 juta kembali kepada kerajaan hasil banteras 6 sindiket

Sejumlah RM960.73 juta kembali kepada kerajaan hasil banteras 6 sindiket

AZAM Baki menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar perkembangan terkini berkaitan operasi yang dijalankan SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah wang tunai dan nilaian aset bernilai RM960.73 juta berjaya dipulangkan semula kepada kerajaan hasil kejayaan operasi dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) menerusi pembanterasan enam sindiket bermula awal tahun ini.

Timbalan Pengerusi MATF, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah itu termasuk RM247 juta yang diperoleh menerusi aktiviti kartel dan penyeludupan diesel di Sabah dan Sarawak awal bulan ini.

“Pada tahun ini, SPRM telah menerajui enam operasi MATF bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Cyber Security.

“Ia membabitkan Op White iaitu penyelewengan perolehan dan susu tepung kontrak kerajaan membabitkan RM 174.7 juta; Op Kingfruit (RM16.15 juta); Op X (RM28.6 juta); Op Sikaro (RM218 juta); Op Metal (RM332.5 juta) dan Op Karen,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, tahun lalu, MATF berjaya menyelamatkan semula wang rakyat sebanyak RM708.552 juta meliputi pelbagai bayaran cukai, denda, sitaan dan pertuduhan di mahkamah.

Azam berkata, tahun lalu juga, seramai 34 orang penjawat awam dan 27 orang awam telah ditahan dimana seramai 25 penjawat awam telah dituduh di mahkamah.

“Selain itu, lapan penjawat awam telah dikenakan tindakan tatatertib. Secara keseluruhan, sebanyak 352 pertuduhan telah dilalukan di mahkamah oleh MATF sepanjang tahun lalu,” katanya.

Katanya, MATF terdiri daripada gabungan beberapa agensi utama kerajaan, termasuk SPRM sebagai peneraju dalam koordinasi penyiasatan dan rundingan antarabangsa.

Jelasnya lagi, Jabatan Peguam Negara (AGC) pula mengendalikan tindakan undang-undang dan forfeiture (rampasan) manakala, BNM berperanan menyediakan data transaksi kewangan dan LHDN serta JKDM menyokong siasatan jenayah.

Sementara itu, katanya, MATF juga melibatkan Kementerian Kewangan (MOF) serta agensi kewangan dan penguatkuasaan lain.

Azam berkata, SPRM memainkan peranan khusus sebagai penggerak utama MATF dengan tanggungjawab menyelaras siasatan seperti mengurus pengumpulan bukti, mengesan aliran wang dan aset serta mengemukakan permintaan bantuan undang-undang antarabangsa.

Tambah Azam, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan agensi luar negara lain bagi tujuan pemulangan aset. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN