KUALA LUMPUR: “Saya tidak tahu yang dia itu pelakon…”
Demikian respons pengarah, Erma Fatima berhubung tindakannya mengetengahkan pelakon lucah dalam salah sebuah drama arahan terbaharunya.
Jelas Erma, beliau tidak mengetahui yang pelakon berkenaan sebelum ini pernah menghasilkan video tidak senonoh sekaligus menjual rakaman tersebut di media sosial.
“Saya tidak tahu tentang latar belakangnya.
“Ketika ambil pelakon, saya tidak pernah tanya latar belakang mereka.
“Yang paling penting, saya bukan porn collector,” jawabnya ringkas.
Erma berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem Tembuni Berdarah, semalam.
Pengarah berusia 57 tahun itu baru-baru ini kembali dikecam netizen kerana menampilkan pelakon lucah untuk karya terbaharunya yang akan ditayangkan menerusi platform Karya Reels Official.
Ramai pihak tampil mempersoalkan tindakan Erma yang tidak menyemak terlebih dahulu latar belakang pelakon berkenaan.
“Kalau ya pun mahu berkarya, tapislah dahulu pelakonnya. Ini tidak, terus ambil sahaja. Tiba-tiba pelakon video lucah.
“Pelakon itu siap iklankan di platform X, jual video lucahnya,” komen netizen di Instagram.- UTUSAN










