SEPANG: Penyanyi, Amira Othman ikhlas menerima kehadiran suaminya, Fattah Amin walaupun aktor itu sebelum ini berstatus duda dan memiliki seorang puteri, Nur Fatima Aisya.
Amira atau Nadia Amira Othman, 32, berkata, dia harus menerima apa juga status bakal suami yang menjadi pilihannya sebagai teman hidup asalkan bukanlah suami orang.
“Pada saya, siapa pun yang saya pilih, status dia harus saya terima dengan ikhlas. Begitu juga apabila Fattah memilih saya.
“Keadaan berbeza, mungkin saya tidak punya anak, tapi ada perkara lain yang dia harus terima juga. Jadi, pada saya tidak ada masalah. Ini lumrah.
“Lagipula saya sudah biasa dengan anak-anak kecil. Kita harapkan semua yang baik-baik,” katanya.
Dalam pada itu, Amira juga memohon peminat dan orang ramai mendoakan yang terbaik untuk dia dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dan ‘ibu segera’.
Terdahulu, Fattah dan Amira sah bergelar isteri dengan sekali lafaz pukul 9.08 malam selepas mereka dinikahkan oleh Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Pada majlis pernikahan yang berlangsung di Dewan Utama, Golden Palm Tree Bagan Lalang, Sepang itu Amira menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin.
Majlis Ijab Kabul Setulus Takdir: Fattah Amira disiarkan secara langsung dan ditonton percuma di aplikasi Unifi TV 2.0.Unifi TV juga akan menyiarkan episod Setulus Takdir: Fattah Amira selepas berkahwin, bulan madu dan pelbagai aktiviti mereka di saluran berkenaan mulai 19 September ini, jam 9 malam.-UTUSAN










