‘Saya dengar bunyi meletup di bahagian lutut kanan’ - Utusan Malaysia

‘Saya dengar bunyi meletup di bahagian lutut kanan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT pelakon, Ellie Suriaty untuk kembali aktif di gim dan menurunkan berat badan tidak kesampaian apabila mengalami kecederaan pada lutut kanan membuatkan dia tidak boleh berjalan dengan sempurna.

Jelas Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 55, setakat ini sudah dua bulan dia menggunakan kerusi roda jika mahu berjalan jauh atau bertongkat setiap kali melalui lokasi bertangga.

Selepas berjumpa pakar, doktor mengesyaki pelakon itu mengalami Anterior Cruciate Ligament (ACL) atau iaitu terdapat kecederaan atau pergerakan di salah satu ligamen utama lututnya.

Jelas doktor, kejadian itu mungkin berpunca apabila pelakon 44 Hari Bangkitnya Pocong itu tidak melakukan senaman memanaskan badan atau warm up dengan betul sebelum memulakan aktiviti berat di gim.

“Jika anda tengok saya macam kurus, sebenarnya sebab saya pergi bersenam di gim. Sekarang saya rasa macam badan saya semakin berisi, mana tidaknya asyik melantak sahaja nasi. Sebab itu saya mahu kembali ke gim selain kurangkan pengambilan karbohidrat dan gula.

“Saya cabar diri untuk buat leg-work tapi mungkin saya tak buat warm-up betul-betul. Tambahan pula saya tidak ada jurulatih peribadi. Ketika sedang bersenam saya sendiri dengar ada bunyi meletup dekat lutut kanan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ellie menolak untuk menjalani sebarang pembedahan dan hanya bergantung kepada ubat sapu yang diberikan doktor.

“Saya cuma urut dan pakai minyak yang doktor bagi. Selain itu banyak berehat dengan harapan saya akan okay.

“Doktor suspek ACL tapi ceritanya lebih panjang seperti saya kena buat pembedahan dan akan ditahan di hospital memakan masa sehingga enam bulan. Saya tidak mahulah begitu,” katanya.

Dalam pada itu, Elllie merasakan ada hikmah di sebalik ujian yang menimpanya. Baginya, ini semua adalah petanda daripada Allah untuk memastikan pelakon itu berehat seketika daripada kesibukan kerja.

“Nasib baik ketika semua ini terjadi saya sudah selesai daripada melunaskan kerja penting melibatkan projek besar. Mungkin Allah nak suruh saya rehat sebab sudah dua tahun saya tidak berhenti bekerja.

“Tapi ini peringatan yang bagus juga kepada orang ramai bahawa sebelum pergi gim kena panaskan badan betul-betul. Apabila paksa diri, mungkin tubuh kita akan terkejut sebab saya masih ingat lagi dengar bunyi ‘prap’ dekat lutut kanan,” ceritanya.

Bagaimanapun, Ellie bersyukur kerana karakter lakonannya selepas ini adalah watak seorang pengetua yang membolehkannya bertongkat.

“Tidak lama lagi saya akan masuk ke dalam set penggambaran. Pihak produksi tahu keadaan saya yang sukar berjalan tapi Alhamdulillah mereka tetap mahukan saya.

“Cuma karakter selepas ini pengetua, rasanya agak style juga jika pengetua bertongkat, kan?” ceritanya.

Dalam perkembangan lain, Ellie bakal tampil dalam filem komedi terbaharu bertajuk Paraxnormal bersama Joey Daud, Azhan Rani, Epy Kodiang dan Amir Nafis.

Filem berkisarkan kisah empat sahabat karib yang tanpa sengaja terjerat dalam pelbagai peristiwa menyeramkan ketika cuba merompak sebuah vila misteri dan berhantu, namun menyimpan harta bernilai lebih RM10 juta.

Filem Paraxnormal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN