PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi belum menerima surat rayuan daripada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung pemecatannya daripada parti itu.
Ahmad Zahid ditanya mengenai dakwaaan kononnya Khairy menghantar surat rayuan kepada UMNO berhubung pemecatannya daripada parti itu pada baru-baru ini.
“Belum, saya belum terima lagi,” katanya ketika ditemui pada sesi Dialog Belanjawan 2026 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, semalam.
Difahamkan, surat rayuan berkenaan diserahkan pegawainya kepada UMNO.
Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO dipecat keahliannya daripada parti itu pada 27 Januari 2023.
Majlis Tertinggi (MT) UMNO ketika itu memutuskan pemecatan Khairy dan Ketua Bahagian UMNO Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Bagaimanapun Khairy sebelum ini menyatakan sedia mempertimbangkan tawaran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh untuk membantu memudahkannya kembali ke pangkuan parti.
Sebelum itu, Akmal juga dilaporkan berkata, beliau sedia menjadi jambatan untuk membawa pemimpin UMNO digantung dan dipecat UMNO kembali ke pangkuan parti.
Sejak Mei lalu, timbul desas-desus yang mendakwa Khairy dalam proses kembali menyertai UMNO selepas lebih dua tahun dipecat.
Usaha membawa pulang bekas Ahli Parlimen Rembau itu ke pangkuan UMNO dikatakan bermula selepas pemergian bapa mentuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.-UTUSAN











