ISKANDAR PUTERI: Kerajaan sedang meneliti sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli yang sedang digubal wajar diperluaskan kepada semua peringkat umur, berbanding cadangan awal hanya melibatkan individu bawah 18 tahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu timbul susulan pelbagai maklum balas daripada sesi Town Hall Antibuli serta pandangan awam melalui portal Peta Reformasi Institusi (PetaRI).
Katanya, gejala buli tidak hanya menimpa kanak-kanak dan pelajar sekolah, tetapi turut berlaku dalam kalangan individu dewasa termasuk di tempat kerja, institusi pengajian tinggi, maktab ketenteraan dan juga pasukan polis.
“Jika undang-undang ini diperluas, ia membabitkan pelbagai kementerian dan agensi, bukan sahaja Kementerian Pendidikan tetapi juga Kementerian Pengajian Tinggi, institusi awam dan swasta.
“Setakat ini, banyak respon diterima mahu ia lebih menyeluruh, tidak hanya terhad kepada bawah 18 tahun, jadi kita akan kaji,” katanya pada sidang akhbar selepas sesi Town Hall Antibuli Peringkat Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Mohd. Hanafi Samad.
Azalina berkata Tribunal Anti-Buli yang sedang digubal diharap mampu mengurangkan kes-kes buli di seluruh negara, khususnya di institusi pendidikan, sebagai mencontohi kejayaan Tribunal Gangguan Seksual.
“Tribunal berkenaan terbukti meningkatkan kesedaran masyarakat apabila tindakan undang-undang dapat diambil secara lebih tegas dan pantas, sekali gus mengurangkan jumlah laporan kes,” katanya.
Tegasnya, tribunal bukan sahaja memberi keadilan kepada mangsa, sebaliknya turut menyedarkan pelaku bahawa perbuatan mereka salah dan boleh dikenakan tindakan.
“Sistem perundangan yang lebih efektif ini diyakini mampu mencegah kes berulang serta mengubah tingkah laku individu secara positif,” katanya.
RUU Tribunal Anti-Buli dijangka dibentangkan ke Parlimen Oktober depan selepas selesai sesi penerangan, libat urus dan jelajah seluruh negara bulan ini.
Beliau menegaskan, maklum balas menyeluruh pelbagai pihak amat penting bagi memastikan inisiatif itu benar-benar memberi kesan besar dalam membendung gejala buli.-UTUSAN










