BARU–baru ini enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman itu dan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lepas.
Adalah diharapkan sebarang keputusan yang diputuskan tidak menjejaskan usaha kita membanteras kejadian buli yang berlaku dalam kalangan pelajar di dalam semua institusi pendidikan kita. Usaha membanteras isu buli harus diteruskan. Isu buli ini perlu diatasi dengan segera sebelum ia menjadi lebih serius hingga boleh melibatkan kecederaan parah atau kehilangan nyawa ramai pihak.
Bagi mengatasi masalah buli ini, pihak pengurusan sekolah dan universiti perlu mengambil pelbagai inisiatif bagi mendapatkan maklumat mengenai segala kegiatan buli yang berlaku di kawasan masing-masing, sama ada kegiatan buli yang berlaku dalam bentuk psikologi mahupun fizikal. Semua sekolah dan universiti di dalam negara kita perlu mempunyai peraturan yang jelas berkaitan dengan isu buli ini.
Pihak pengurusan sekolah dan universiti juga digalakkan menampal poster anti buli di dalam sekolah dan kampus universiti masing-masing serta mengedarkan risalah anti buli kepada setiap pelajar untuk dibaca bersama dengan pihak ibu bapa atau penjaga.
Semua informasi yang terkandung dalam poster serta risalah yang diedarkan terbabit mestilah merangkumi definisi dan segala bentuk atau kategori buli, panduan mudah untuk menangani insiden buli dan yang paling utama adalah talian kecemasan untuk dihubungi sekiranya seseorang pelajar itu hadapi masalah buli.
Pihak kerajaan juga perlu memberi pertimbangan untuk mewujudkan sebuah kerangka undang-undang baharu khusus bagi atasi masalah buli dalam negara kita. Sebarang usaha yang ingin diambil tanpa adanya peruntukan undang-undang yang lebih berkesan tidak akan membawa sebarang kesan yang positif. Pihak kerajaan boleh meminda sebarang peruntukan undang-undnag sedia ada seperti Akta Pendidikan 1996 [Akta 550] ataupun mewujudkan terus sebuah Akta Anti-Buli.
Pihak kerajaan boleh membuat rujukan terhadap peruntukan undang-undang yang ada di United Kingdom dan Amerika Syarikat terhadap isu ini. Dengan adanya sebuah peruntukan undang-undang, semua pihak dalam negara kita akan mengambil serius terhadap isu buli ini serta mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan kegiatan buli. Melalui peruntukan undang-undang ini juga ia boleh memastikan setiap tempat memiliki polisi anti-buli yang lebih jelas, seragam dan sesuai.
Dengan adanya undang-undang khusus terhadap perkara ini juga, hukuman setimpal dapat diberikan kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan buli serta gagal membendung kegiatan buli.
Isu buli tidak boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja serta hanya diberi perhatian jika berlaku sesuatu insiden buli seperti yang berlaku baru-baru ini. Ia memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak, baik pensyarah, guru, ibu bapa atau pelajar itu sendiri bagi memastikan semua institusi pendidikan dalam negara kita menjadi gedung ilmu dan bukannya tempat untuk melahirkan generasi samseng.
Perbuatan membuli, sama ada untuk berseronok atau kerana benci tidak sepatutnya menjadi amalan biasa atau budaya yang menunjangi institusi pendidikan negara. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










