SEPANG: Kerajaan akan terus melindungi ruang digital negara dengan menyekat penyebaran propaganda Zionis yang cuba mengelirukan rakyat melalui platform media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memantau trend dan melaksanakan langkah proaktif bagi menghalang kandungan berunsur propaganda daripada menular.
“Di sesetengah negara lain, algoritma propaganda Zionis berleluasa, tetapi alhamdulillah di Malaysia kita berjaya mengekangnya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Operasi Sumud Nusantara (SNCC), di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung berita palsu beberapa kapal Sumud Flotilla ditahan komando Israel dan dijadikan tahanan penjara terapung.
“Tular kononnya beberapa kapal Global Sumud Flotilla telah diserang oleh komando Israel padahal perkara itu tidak berlaku pun dan ura-ura akan diperlakukan sedemikian rupa.
“Ini bukan soal bagaimana kita melindungi peserta flotilla, tetapi kenapa Israel boleh bertindak bebas di perairan antarabangsa tanpa hak sah,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan, negara berdaulat seperti Malaysia berhak menyatakan pandangan serta tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.
Katanya, isu kandungan Gaza dan Palestin yang dimuat naik oleh Perdana Menteri pernah diturunkan oleh platform seperti Facebook dan Instagram turut dibangkitkan dalam pertemuan kerajaan dengan syarikat induk, META.
“Mereka akhirnya akur bahawa seorang Perdana Menteri berdaulat berhak menyatakan pendirian,
dan harapnya dengan perbincangan berterusan ini, kami percaya ia memberikan satu signal kepada platform-platform tersebut,” katanya.
Tambahnya, kini, kandungan berkaitan Gaza dan Global Sumud Flotilla yang dihasilkan rakyat Malaysia tidak lagi diturunkan atau disekat oleh TikTok. – UTUSAN