Roncas ketengah suara generasi Garage Rock - Utusan Malaysia

Roncas ketengah suara generasi Garage Rock

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perkembangan industri muzik tanah air dilihat semakin meriah apabila ramai artis-artis tempatan baharu dan lama sudah kembali bersaing untuk memperkukuhkan nama seiring dengan permintaan peminat ketika ini.

Namun yang menariknya pula apabila ada di kalangan mereka yang sudah lama ‘bertapa’ tetapi baru kini mengambil keputusan untuk keluar dari sarang dan menterjemahkan karya mereka dalam medium arus perdana.

Misalnya, band alternatif tempatan, Roncas, yang kini mengumumkan pelancaran EP sulung mereka yang bertajuk Jahal di HooHaa Studio di sini minggu lalu. Kumpulan ini bukan sahaja boleh dikategorikan sebagai oldtimer, malah anggotanya juga berbakat dan sering menjadi sessionist untuk band-band alternatif lain tanah air.

EP Jahal turut memperdengarkan enam track terbaharu yang mencerminkan perjalanan dan hala tuju muzik mereka antaranya, Kisah Lembu, Jahal, Obskura, Tayam, Karkun Satria dan Pekerja Rencam.

Menurut pemain dramnya, Baan, mengambil masa panjang untuk menghasilkan karya berkualiti adalah perkara biasa dalam industri. Baginya apa yang perlu dihadiahkan kepada peminat adalah mutu dan kualiti sejajar dengan arus muzik masa kini.

“Muzik kami semakin matang, setiap lagu yang diterjemahkan kali ini mengetengahkan suara generasi Garage Rock yang sarat dengan keresahan, perjuangan, kebebasan serta harapan, oleh itu setiap elemen ini kami garap dan satukan sesuai dengan kehendak peminat.

“Kami ingin membawa peminat menyelami pengalaman emosi yang mendalam dan menjadi ruang ekspresi mereka,” katanya.

Mereka turut menjelaskan bahawa setiap karya yang dihasilkan bukan sekadar muzik semata-mata, tetapi sebuah perjalanan emosi yang mahu dikongsikan bersama peminat.

Menggabungkan elemen psychedelic dan stoner rock, EP tersebut bakal tersedia dalam format digital, kaset dan cakera padat (CD) yang akan tersedia Disember ini.

Penyanyinya, Mesir menganggap konsep muzik yang dibawa perlu dikekalkan agar peminat dapat menilai keaslian sesebuah kumpulan itu, malah dengan cara itu juga kumpulan sedia ada mampu mempamerkan kreativiti agar tidak dilabel dengan pelbagai tanggapan negatif.

“Walau banyak persaingan ketika ini, namun saya bersikap terbuka dan positif kerana sekali gus memeriahkan industri seni. Hari ini peminat sudah semakin cerdik dan boleh menilai apa yang mereka mahukan.

“Walaupun kami semua sudah bertaraf ‘otai’, tetapi masing-masing punyai skill dan idea tersendiri dan semuanya kami satukan untuk membentuk sebuah aliran muzik yang membawa Roncas ke tahap hari ini.” ujarnya.

Syarikat Lyme Studios yang menaungi Roncas turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi atas sokongan mereka melalui Program Dana Kandungan Kreatif yang diterima.

Program dana tersebut merupakan inisiatif serta bentuk sokongan kerajaan terhadap pembangunan industri kreatif dan diselia di bawah MyCreative Venture Sdn. Bhd.

Kumpulan Roncas ditubuhkan pada 2022 dan mula mencipta nama melalui persembahan gig underground di serata festival muzik indie tempatan. Kumpulan ini dianggotai oleh Mesir (vokal/gitar), Dino (gitar utama), Azri (bass), dan Baan (dram).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN