KUALA TERENGGANU: Sebuah restoran makanan Arab terkenal di bandar raya ini didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas pengedalinya mengaku bersalah membenar dan menggaji pekerja asing tanpa pas serta permit yang sah.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Fazlan Mohd. Jek, 48, yang mewakili syarikat berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, pada 8 April lalu kira pukul 5.30 petang, syarikat MyRafaez Empire selaku pengendali restoran didapati membenarkan lima warga asing tinggal di premis di Dataran Alamanda, Jalan Sultan Sulaiman.
Kesemua mereka terdiri daripada Muaadh Mohammed Abdo Qasem Al-Daas, 20, warga Yaman, dan empat warga Mesir, Mohamed Maher Elsayed Sadek Elbamby, 22; Ahmed Ashraf Mohamed Tawfik Elshikh, 29’ Mohamed Monir Hosni Hamed Eletrr, 27, dan Said Fahmy Tayab Kelta, 57.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) Akta yang sama, iaitu denda yang tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM30,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis.
Atas kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan denda RM5,000 bagi setiap seorang imigran, menjadikan jumlah keseluruhan RM25,000. Mahkamah turut memerintahkan kesemua imigran berkenaan dihantar pulang ke negara asal dengan kos ditanggung majikan.
Pertuduhan kedua melibatkan syarikat Chef Faez Sdn. Bhd. turut diwakili Mohd Fazlan. Menurut fakta kes, pada 8 April lalu kira-kira pukul 6.25 petang di sebuah rumah kedai Tingkat Bawah Jalan Sultan Sulaiman, mengambil seorang pekerja warga Mesir, Tarek Mohamed Elmorsy Zedan, 33, bekerja sebagai pencuci pinggan tanpa pas kerja yang sah.
Bagi kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan denda RM10,000 terhadap syarikat terbabit mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan.
Pendakwaan dikendalikan Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Najmi Adila Md Nasir. Tertuduh yang mewakili syarikat mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dan membayar denda yang dikenakan. – UTUSAN









