Representasi kedua pengasuh Baby Syifaa ditolak, bicara Mac tahun depan

Representasi kedua pengasuh Baby Syifaa ditolak, bicara Mac tahun depan

KHAIRUNNISA Ahmad Damanhuri hadir pada prosiding sebutan semula kes pengabaian kanak-kanak di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan, semalam.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak pendakwaan menolak representasi kedua yang dikemukakan oleh pengasuh Baby Syifaa atau Nour Rania Asyifaa Yuseri berhubung pertuduhan melakukan pengabaian sehingga menyebabkan kematian bayi itu di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan, tiga tahun lalu.

Penolong Pengarah Pendakwaan Negeri, Ku Hayati Ku Haron memaklumkan perkara itu ketika prosiding sebutan semula kes melibatkan tertuduh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, 40, di hadapan Hakim N. Kanageswari di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

“Dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan telah menerima satu representasi daripada peguam tertuduh dan kami telah memberi mempertimbangkan terhadap representasi tersebut.

“Bagaimanapun, dukacita dimaklumkan bahawa pihak kami tidak menerima tawaran yang dikemukakan dalam representasi itu,” katanya.

Ku Hayati kemudian memohon tarikh perbicaraan baharu dan memaklumkan kepada mahkamah seramai lapan hingga 10 orang saksi dijangka akan dipanggil memberi keterangan bagi kes tersebut

Mahkamah kemudian menetapkan 2,9 dan 10 Mac tahun depan untuk tarikh baharu perbicaraan dan meminta pihak pendakwaan memastikan kehadiran kesemua saksi terlibat.

Peguam, S. Kavittha yang mewakili Khairunnisa tiada bantahan berhubung perkara tersebut.

Turut hadir peguam pemerhati bagi keluarga ‘Baby Syifaa’, Gaithri Thomas dan ibu kanak-kanak tersebut Anida Idrus, 42.

Mengikut pertuduhan, Khairunnisa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan Nour Rania Asyifaa Yuseri berusia 15 bulan telah mengabaikan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 12.30 tengah hari di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut seksyen yang sama dan membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.

Sebelum ini, media melaporkan pada 31 Julai 2024, Mahkamah Koroner memutuskan punca kematian Baby Syifaa yang ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah pusat asuhan di Bandar Sri Sendayan disebabkan tekanan pada leher.

Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×