Rapid KL Lancar #JomNaikFeeder 2.0, sasar peningkatan penumpang 6.8 peratus. 

Rapid KL Lancar #JomNaikFeeder 2.0, sasar peningkatan penumpang 6.8 peratus. 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rapid KL melancarkan kempen #JomNaikFeeder 2.0 selama tiga bulan bermula hari ini sehingga 30 November depan, dengan sasaran peningkatan jumlah penumpang bas perantara sebanyak 6.8 peratus. 

Pemangku Ketua, Pengurusan Pihak Berkepentingan dan Pemasaran Kumpulan Prasarana, Ashok Panchalingam berkata, kempen memberi peluang kepada penumpang menebus pin e-dompet Touch ‘n Go (TNG) bernilai sehingga RM10.

Beliau berkata, setiap 20 perjalanan lengkap melayakkan penumpang menebus pin e-dompet TNG bernilai RM5, manakala 30 perjalanan membolehkan penebusan sebanyak RM10.

“Penumpang hanya perlu mengimbas kod respons pantas (QR) di dalam bas perantara dan menggunakan kad yang sama untuk mengumpul perjalanan, dengan 1,000 terawal layak menebus setiap bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ashok berkata, kejayaan #JomNaikFeeder 1.0 menjadi inspirasi untuk inisiatif itu diteruskan dengan matlamat bukan sekadar memberi insentif, malah membudayakan pengangkutan awam sebagai pilihan utama pengguna.

“Kami mahu masyarakat melihat bas perantara sebagai penyelesaian mobiliti yang praktikal, selamat dan berbaloi” katanya.

Menurut beliau, fasa pertama kempen terbukti berkesan apabila jumlah penumpang bas perantara meningkat sebanyak 5.5 peratus, sekali gus membuktikan bas perantara sebagai pilihan utama perjalanan jarak pertama dan terakhir. 

Katanya, kempen juga menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai 40 peratus perkongsian mod pengangkutan awam menjelang 2030 di bawah kerangka Ekonomi Madani, selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, pelepasan karbon dan membina bandar yang lebih mampan. 

“Usaha ini turut memperkukuhkan jenama syarikat sebagai nadi pergerakan warga kota, dengan memberi fokus kepada aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan keterangkuman dalam perkhidmatan” katanya.

Kempen terbuka kepada semua pengguna tanpa tunai perkhidmatan bas perantara Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) bagi pemegang Pas MY50, MyCity, MyTourist, Kad Konsesi MyRapid, Oku Smile dan pengguna kad TNG. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN