Rancangan tebatan banjir kawal lembangan sungai elak kesan bencana

Rancangan tebatan banjir kawal lembangan sungai elak kesan bencana

AKMAL NASRULLAH Mohd Nasir merasmikan Persidangan Antarabangsa Sumber Air (ICWR 2025) di Putrajaya. - UTUSAN/NURIN NABILAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan kawalan lembangan sungai berisiko tinggi dalam mengurangkan impak banjir, khususnya menjelang fenomena La Nina pada awal tahun depan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) akan menekankan pendekatan menyeluruh terhadap kawasan lembangan sungai, bukannya penyelesaian berskala kecil.

“Kalau kita nak menguruskan banjir, yang paling utama ialah mengawal lembangan sungai atau basin itu sendiri. Jadi, pelaburan infrastruktur untuk penyelesaian di mana-mana kawasan berisiko tinggi perlu dilakukan secara menyeluruh,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sumber Air (ICWR 2025) di sini hari ini.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja penyelenggaraan serta bersedia menjalankan operasi kecemasan di kawasan kritikal yang sering terdedah kepada bencana.

“Pihak JPS berperanan untuk memberi amaran apabila bencana dijangka berlaku dan memahami di mana kawasan hotspot yang akan paling terkesan.

“Pemantauan dari pihak mereka ini akan dilakukan dari semasa ke semasa, manakala peringatan juga akan disampaikan kepada penduduk di kawasan terbabit,” katanya.

Namun begitu, beliau mengakui kos menjadi kekangan besar dalam melaksanakan projek tebatan banjir di tempat-tempat berisiko tinggi.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan penglibatan sektor swasta melalui Pelan Hala Tuju Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) yang membuka ruang kepada syarikat berkepakaran dan berteknologi baharu untuk menyumbang secara lebih aktif dalam pengurusan sumber air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN