Rai tiga dekad usia seni, Siti Nurhaliza bakal 'gegar' SNBJ - Utusan Malaysia

Rai tiga dekad usia seni, Siti Nurhaliza bakal ‘gegar’ SNBJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bagai tidak lelah menghiburkan peminat, Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan bakal mengadakan sebuah konsert berskala besar pada 10 Januari 2026.

Difahamkan, konsert mega yang dijangka berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil tersebut bersempena 30 tahun penglibatannya dalam industri muzik tanah air.

“Di sinilah destinasi seterusnya untuk sejarah Legacy 30 Siti Nurhaliza. Jiwa, keikhlasan dan kasih sayang.

“Nantikan pengumuman selanjutnya esok!” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.

Dalam masa sama, Siti turut memuat naik sebuah perkongsian di TikTok seolah meluahkan keterujaannya untuk bertemu dengan ribuan peminatnya tahun hadapan.

“Anda sudah bersedia? Kita jumpa di Stadium Nasional Bukit Jalil. Saya sayang anda semua. Jumpa di sana,” katanya.

Namun, Siti tidak menyatakan sebarang maklumat terperinci mengenai tarikh penjualan tiket tersebut.

Pengumuman tersebut sekali gus menjadi khabar gembira buat peminat setianya yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahan ikonik penyanyi kebanggaan negara itu.

“Kami sudah bersedia TokTi! Tak sabar nak rebut tiket,” komen seorang pengguna media sosial.

“Okay, wajib pergi konsert TokTi,” kata peminatnya.

“Bila tiket akan dijual?,” tanya seorang netizen.

Sejak minggu lalu, penyanyi lagi Menamakanmu Cinta itu dilihat giat memuat naik perkongsian seolah memberi gambaran dirinya bakal mengadakan sebuah konsert berskala besar tidak lama lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN