Putra Eagles RC lonjak potensi bakat ragbi SK Bandar Seri Putra

Putra Eagles RC lonjak potensi bakat ragbi SK Bandar Seri Putra

JURULATIH Ahmad Kushairi Ahmad Anwar memberi suntikan semangat sebelum perlawanan bermula.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penubuhan pasukan ragbi sekolah rendah, Putra Eagles Rugby Club (RC) di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra baru-baru ini membuka lembaran baharu dalam usaha mencungkil bakat muda serta melahirkan generasi pelapis sukan ragbi negara.

Pasukan yang kini bernaung di bawah bimbingan Ahmad Kushairi Ahmad Anwar selaku jurulatih, diurus oleh Muhammad Faiz Fathi Zuraidi dan disokong oleh guru pengiring, Nik Bahirah Nik Mat Salleh, berjaya menarik minat seramai 55 murid terdiri daripada 40 murid lelaki dan 15 murid perempuan daripada Tahun 3 hingga Tahun 5.

Menurut Guru Besar, Noridah Abd Aziz, pihak sekolah amat berbangga dengan usaha menubuhkan kelab ragbi berkenaan kerana ia menjadi wadah membina disiplin, keyakinan diri dan semangat berpasukan dalam kalangan murid.

 

 

 

 

 

 

 

“Kita mahu murid-murid bukan sahaja cemerlang akademik, malah seimbang dari aspek sahsiah dan jasmani. Ragbi adalah sukan yang menuntut semangat juang, ketahanan mental serta nilai kerjasama. Inilah yang cuba kita terapkan dalam kalangan mereka,” ujar Noridah yang di sokong bersama Penolong Kanan Kokurikulum, Zurita Ibrahim.

Latihan pasukan diadakan setiap hujung minggu selain sesi berkala pada hari persekolahan bermula pukul 6 hingga 7 petang. Menurut jurulatihnya, Ahmad Kushairi, pendedahan awal dalam sukan ragbi memberi ruang kepada murid untuk membina asas kemahiran permainan dengan lebih tersusun.

“Murid pada usia ini mempunyai potensi besar jika diasuh dengan betul. Fokus kami bukan semata-mata kepada kejayaan di padang, tetapi juga kepada pembinaan sahsiah. Saya percaya Putra

Eagles RC mampu melahirkan pemain muda yang berdisiplin serta berdaya saing,” katanya.

Sejak penubuhannya, Putra Eagles RC sudah aktif menyertai pelbagai kejohanan dan perlawanan persahabatan, antaranya Kejohanan Ragbi Tun Dr. Ismail 7’s U12 Peringkat Kebangsaan di Kuala

Kangsar, Test Match 4 Penjuru di Asia Pacific Smart School (APSS), Kota Damansara Lycan Mini Games, Mini Tournament Pre-MSSD di SK Seksyen 7 Bangi, serta perlawanan persahabatan menentang SK Cyberjaya.

Malah, penyertaan ke dalam Kejohanan Ragbi Rimau Majlis Sukan Sekolah Sekolah Daerah (MSSD) Hulu Langat di Ampang baru-baru ini turut memberi pengalaman bermakna buat pasukan. Putra

 

 

 

Eagles RC juga bakal berentap di FISSKA Rugby Tournament (X Rugby @ TACKLE) yang akan berlangsung di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang tidak lama lagi.

Pengurus pasukan, Muhammad Faiz Fathi Zuraidi, berkata sambutan menggalakkan daripada murid serta ibu bapa menjadi bukti bahawa ragbi semakin mendapat tempat di sekolah rendah.

“Daripada hanya sekadar minat, kini ia berkembang menjadi pasukan rasmi dengan sokongan pentadbir sekolah. Saya percaya dalam tempoh terdekat, Putra Eagles RC akan dikenali sebagai pasukan yang mampu bersaing di pelbagai peringkat,” ujarnya.

Dengan penyertaan aktif dan sokongan padu daripada warga sekolah, Putra Eagles RC kini dilihat sebagai salah sebuah pasukan ragbi sekolah rendah yang berpotensi besar, sekali gus mengangkat nama SK Bandar Seri Putra sebagai pencetus budaya sukan ragbi di peringkat akar umbi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN