SEOUL: Telahan netizen yang mendakwa pelakon, Lee Kwang Soo tidak diundang ke majlis perkahwinan Kim Jong Kook, meleset.
Lapor Star News, Kwang Soo antara rakan selebriti yang menerima jemputan ke majlis perkahwinan Jong Kook di sebuah hotel sekitar Gangnam, baru-baru ini.
Bagaimanapun pelakon berusia 40 tahun itu terpaksa membatalkan kehadiran saat akhir kerana mengikuti rangka promosi filem terbaharunya, Love Barista di Vietnam.
Terdahulu, timbul pelbagai andaian apabila Jong Kook berkongsi senarai tetamu majlis perkahwinanya di Youtube.
Antara yang hadir adalah bintang rancangan Running Man seperti Yoo Jae Suk, Haha, Ji Suk Jin, Song Ji Hyo dan Yang Se Chan.
Ketiadaan Kwang Soo dalam senarai itu menimbulkan pelbagai spekulasi termasuk dakwaan bermasam muka dengan Jong Kook.
Jong Kook pada 18 Ogos lalu mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga.
Peserta rancangan Running Man itu juga sebelum ini menepis banyak khabar angin mengenai identiti isterinya yang kekal dirahsiakan sehingga hari ini.
“Isteri saya bukan anak kepada guru bahasa Inggeris, bukan juga seorang berpangkat tinggi dalam syarikat kosmetik mahupun berasal dari Los Angeles.
“ Semua artikel yang ditulis dan disebarkan mengenai isteri saya adalah tidak benar,” katanya.










