KANGAR: Persediaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan potensi kerjasama dengan parti lain dijangka menjadi antara isu hangat dalam Muktamar Pas Ke-71 di Kedah dari 11 hingga 16 September ini.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, keutamaan sudah pastinya terarah kepada PRU16 memandang muktamar tahun ini boleh dikatakan hampir dengan pilihan raya berkenaan.
Katanya, perbahasaan antaranya sudah pasti berkait dengan PRU akan datang terutama daripada sudut perkembangan atau persediaan Pas menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Presiden mungkin akan menggariskan panduan-panduan berhubung dengan persiapan PRU, begitu juga kerjasama dengan parti-parti lain dalam PRU nanti.
“Itu jangkaan saya akan jadi isu utama perbincangan sama ada dalam muktamar mahu pun ucapan dasar presiden,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Lebih 4,200 perwakilan dari seluruh negara dijangka hadir sempena Muktamar Tahunan Pas di Kedah bagi menentukan hala tuju parti bagi penggal 2025-2027.
Bersempena pemilihan, lima jawatan tertinggi dan kepemimpinan tertinggi sayap-sayap Pas menyaksikan tidak berlaku pertandingan dengan persaingan sengit hanya melibatkan jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat membabitkan 30 calon yang bertanding bagi menempatkan diri dalam kalangan 18 yang akan dipilih.
Antara calon bertanding bagi jawatan berkenaan ialah tiga Menteri Besar dari Pas iaitu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud dan Mohd. Shukri Ramli.
Hashim berkata, tidak berlaku pertandingan membabitkan jawatan tertinggi parti bukan bermaksud Pas ketandusan pemimpin atau menutup ruang demokrasi.
“Bila tidak berlaku pertandingan, orang selalu kata Pas ketandusan pemimpin sampai tidak ada pertandingan. Mereka hendak lihat yang hanya pandai bercakap, boleh bersyair, itu sahajalah layak jadi pemimpin, ia bukan seperti itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yakin muktamar bakal berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah memandangkan tidak berlaku pertandingan khususnya membabitkan jawatan tertinggi.
“Saya yakin ia akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah sesuai dengan gelombang PRU akan datang yang hendak menunjukkan perpaduan kita di dalam parti,” katanya.-UTUSAN










