PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) masih berharap dapat membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan terus menjadi pendamai bagi kedua-dua gabungan itu, meskipun BN dan GRS sudah memuktamadkan keputusan tidak akan bekerjasama.
“Kami bekerjasama dengan BN dan GRS. Itu pendirian kami,” katanya selepas menghadiri majlis di Kampung Kobuni, Inanam, Sabah, semalam.
Baru-baru ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memuktamadkan keputusan tidak bekerjasama dengan GRS, sebaliknya terbuka bekerjasama dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN17 Sabah.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pula mengumumkan kerjasama dengan PH akan diteruskan bagi menghadapi PRN17.
Perkembangan itu sekaligus menunjukkan potensi berlaku pertembungan kerusi antara BN dan GRS di kawasan yang tidak ditandingi oleh PH. – UTUSAN










