PRN Sabah: Kerjasama PN, Warisan boleh kuasai banyak kerusi

PRN Sabah: Kerjasama PN, Warisan boleh kuasai banyak kerusi

MAZLAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Parti Warisan (Warisan) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah boleh memberi ke­lebihan besar kepada kedua-dua parti untuk menguasai lebih banyak kerusi di negeri itu.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, Warisan yang diterajui Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mempunyai pe­ngaruh kuat di kawasan pantai timur Sabah manakala PN pula berpeluang mengekalkan penguasaan di kawasan luar bandar.

“Jika mereka membentuk kerjasama, ia akan memberi kelebihan kerana Warisan memang berpotensi menang ba­nyak kerusi di pantai timur. Sebaliknya, jika PN memilih untuk bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), ruang mereka bertanding adalah lebih kecil kerana GRS sebelum ini pernah menyatakan mahu bertanding hampir 70 daripada 73 kerusi di Sabah.

“Dengan gabungan itu, PN boleh fokus di kawasan luar bandar sementara Warisan me­nguasai pantai timur. Gabungan berkenaan lebih realistik untuk memastikan PN memperoleh lebih banyak kerusi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mereka sedia berdepan pelbagai kemungkinan termasuk membentuk kerjasama dengan parti politik di Sabah termasuk Warisan sebelum atau selepas berakhir PRN negeri itu.

Menurut Muhyiddin, pendirian dan ketetapan sudah diputuskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN setakat kini tidak bekerjasama dengan GRS.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, strategi PN yang menolak kerjasama dengan GRS banyak dipengaruhi sikap parti berkenaan yang sering dilihat sebagai ‘abang besar’ dalam politik Sabah.

Katanya, walaupun PN dan Warisan berpotensi mencabar kedudukan GRS, persaingan tetap sengit kerana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai kekuatan masing-masing.

“BN, khususnya UMNO, kekal kuat di kawasan pedalaman manakala PH melalui DAP dan PKR menguasai kawasan bandar berbilang kaum termasuk pe­ngundi Cina. Jika kedua-dua blok ini berjaya meraih kemenangan signifikan, mereka juga mampu membentuk kerajaan negeri,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN