KUALA LUMPUR : Kegiatan dua sindiket penipuan di kondominium mewah akhirnya terbongkar dengan penangkapan 24 individu termasuk 23 warganegara asing pada 18 dan 19 September lalu.
Kesemua mereka terdiri daripada empat wanita dan 20 lelaki diberkas menerusi operasi yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di dua kondominium mewah di Lorong Binjai dan Persiaran KLCC di sini bermula pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, dalam serbuan pertama pada 18 September lalu, dua unit kondominium mewah terletak di Lorong Binjai diserbu selepas menerima maklumat aktiviti penipuan dalam talian.
Katanya, hasil pemeriksaan, seramai 13 warga negara asing dan seorang warga tempatan yang disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket penipuan dalam talian yang menyasarkan mangsa dari China ditahan.
“Kesemua suspek berusia 18 sehingga 45 tahun itu dipercayai memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial sebelum menyewa kondominium mewah itu untuk dijadikan pusat panggilan.
“Pemeriksaan ke atas peranti di lokasi menunjukkan wujud unsur-unsur penipuan dalam talian dan platform palsu yang digunakan untuk menyasarkan mangsa di negara China,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, turut dirampas beberapa unit komputer riba, telefon bimbit, modem router, dan kad akses.
Sulizme Affendy memberitahu, serbuan kedua telah dilakukan pada pukul 5 petang keesokannya di semua kondominium mewah di Persiaran KLCC.
Jelasnya, seramai sepuluh warga negara asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket penipuan pelaburan kripto tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari Jepun telah ditahan.
“Terdapat beberapa unit yang dijadikan pusat operasi manakala unit lain digunakan sebagai tempat kediaman.
“Kesemua mereka ditahan berusia awal 25-an hingga pertengahan 30-an dan dipercayai memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial,” jelasnya.
Ujarnya, pemeriksaan ke atas peranti di lokasi menunjukkan wujud unsur-unsur penipuan pelaburan atas talian dan platform palsu yang digunakan untuk mensasarkan mangsa.
“Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
“Semua suspek yang ditahan pada serbuan pertama akan direman sehinga Khamis ini manakala bagi suspek kes kedua pula akan ditahan sehingga esok,” ujarnya.-UTUSAN