PETALING JAYA: Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad ditahan polis pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung isu operasi pengosongan Kampung Sungai Baru.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengesahkan penahanan tersebut.
“Ya, saya sahkan penahanan ini berkaitan dengan kes Kampung Sungai Baru tempoh hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 186, Seksyen 353 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hari ini, Zaharuddin yang juga menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan ditahan di rumahnya kira-kira pukul 1.30 pagi tadi dan dibawa ke IPD Dang Wangi.
Pada 13 September lalu, tujuh lelaki ditahan selepas disyaki terbabit dalam provokasi semasa proses pelaksanaan writ saman milikan kosong kediaman di Kampung Sungai Baru.
Kesemua suspek berusia antara 15 hingga 52 tahun ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes mencederakan Sulizmie. – UTUSAN










