BACHOK: Polis akan memanggil ibu bapa kepada seorang kanak-kanak yang parah dipukul dengan tukul di Jelawat, di sini kelmarin untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, prosedur mengambil keterangan ibu bapa dan saksi kejadian dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
“Kita juga akan memanggil saksi lain yang berada berhampiran lokasi kejadian bagi membantu siasatan. Selain itu, polis sudah mengambil keterangan daripada isteri suspek yang merupakan ibu saudara mangsa selepas kejadian itu.
“Wanita itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis apabila selesai memberi keterangan pada petang semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditemukan mati apabila bertindak menggantung dirinya pada sebatang pokok ru selepas memukul anak saudaranya hingga parah dengan sebatang tukul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat, Bachok.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, suspek yang berusia 46 tahun menggantung dirinya pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi di sini selepas melakukan perbuatan tersebut. – UTUSAN










