GERIK: Polis memohon bantuan orang ramai mengesan remaja perempuan berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam.
Remaja berkenaan, Nurfatin Auni Mohamad Kobli disedari hilang oleh bapanya selepas didapati tiada di bilik tidur di rumah mereka di Taman Desa Delima, Gerik sekitar pukul 6.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, laporan berkaitan kehilangan remaja itu dibuat bapanya pada hari sama.
Katanya, remaja berbadan sederhana dengan ketinggian 150 sentimeter itu berkulit kuning langsat, memakai cermin mata dan berambut paras bahu.
“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi remaja itu berada boleh menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 010-9220079.
“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di talian 05-7912222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN