LARUT: Polis sedang memburu seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Ammar Mohd Fazdil, 27, dipercayai ketua kumpulan penjenayah yang memecah masuk pasar raya dan melarikan peti besi berisi wang tunai RM14,000 di Batu Kurau di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah berkata, semakan rekod mendapati suspek beralamat di Kampung Aman, Pokok Sena, Pulau Pinang itu mempunyai 34 rekod lampau melibatkan 24 kes jenayah dan 10 kes narkotik, selain turut dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Sarudin, kejadian berlaku pada 27 Ogos lalu sekitar pukul 3 pagi apabila pasaraya Serai Mutiara di Taman Kurau Permai, Batu Kurau dipecah masuk melalui pintu gelongsor belakang sebelum suspek melarikan peti besi yang mengandungi wang tunai.
“Hasil risikan dan semakan rakaman CCTV, polis berjaya mengenal pasti suspek terlibat serta kenderaan yang digunakan.
“Serbuan pertama dilakukan pada 28 Ogos di Alor Setar membawa kepada tangkapan seorang lelaki suspek pertama dan siasatan lanjut kemudian membawa kepada tangkapan suspek kedua pada 5 September di Kampung Aman, Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil maklumat dari suspek yang ditangkap, polis menemui semula peti besi berkenaan yang dibuang ke Sungai Lokan, Butterworth.
Kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Taiping di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
“Suspek kedua mengaku salah dan dihukum penjara tiga tahun manakala suspek pertama tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.
“Polis kini sedang mengesan ketua kumpulan tersebut dikenali Muhammad Ammar dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk segera menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Dzul Izham di talian 018-9069530 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN