Kerajaan lulus penubuhan Fakulti Undang-Undang di UMS, Unimas

Kerajaan lulus penubuhan Fakulti Undang-Undang di UMS, Unimas

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menubuhkan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) bagi memperkukuh pembangunan tenaga profesional di kedua-dua wilayah.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, permohonan membuka fakulti baharu itu telah dikemukakan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, dengan cadangan moratorium bidang undang-undang dibuka khusus untuk Sabah dan Sarawak.

“Hasil perbincangan itu, Kabinet bersetuju membenarkan UMS menubuhkan satu lagi fakulti baharu, iaitu Fakulti Undang-Undang. Pembukaan fakulti ini amat penting dalam konteks pembangunan tenaga profesional di Sabah.

“Pada masa sama, sebuah lagi fakulti undang-undang akan dibuka di Unimas bagi memastikan kedua-dua wilayah mempunyai akses pendidikan undang-undang yang lebih seimbang dan inklusif,” katanya selepas Lawatan ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) di sini, hari ini.

Zambry menyarankan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sudah mempunyai Fakulti Undang-Undang di kampus induk Shah Alam, mengembangkan fakulti berkenaan ke Sabah dan Sarawak bagi menambah kapasiti dan peluang kepada anak tempatan.

“Ini merupakan berita baik untuk rakyat Sabah keseluruhannya. Kita mendengar saranan yang dikemukakan, dan selaku menteri, saya bertanggungjawab memastikan segala bentuk keselesaan dan kemudahan untuk rakyat Sabah diberikan keutamaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN