PN tidak tumpang kekuatan parti Sabah

PN tidak tumpang kekuatan parti Sabah

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) bersedia bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah walaupun wujud perbincangan tidak rasmi dengan beberapa parti politik tempatan.

Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, setakat ini tiada sebarang perkembangan konkrit berhubung rundingan kerjasama itu dan pihaknya komited untuk turun gelanggang dengan kekuatan sendiri.

Katanya, PN bertanding menggunakan logonya sendiri sekali gus menolak andaian bahawa hanya menumpang kekuatan parti berasaskan negeri untuk mengukuhkan kedudukan di Sabah.

“Tiada yang konkrit (mengenai kerjasama itu). Kita akan bertanding solo, itu sahaja. Kita adalah parti nasional, bukan kecil. Kita membawa agenda negeri di peringkat nasional dan itu akan menjadi tawaran kepada rakyat Malaysia yang akan mengundi di Sabah,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan pihaknya sudah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan satu parti politik untuk merintis kerjasama PRN.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan butiran termasuk nama parti dan bentuk kerjasama yang mahu merintis pakatan itu, sebaliknya menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ronald menolak sebarang tanggapan bahawa PN bergantung sepenuhnya pada kekuatan melalui kerjasama politik di Sabah.

“Kita adalah parti nasional, dengan 74 kerusi Parlimen selepas Pilihan Raya Umum lalu. Ini menunjukkan PN mempunyai kekuatan tersendiri. Kita bukan parti kecil, malah tawaran kita adalah untuk membawa suara Sabah terus ke peringkat nasional,” katanya.

Katanya, PN tidak menolak sebarang rundingan politik namun ia dipertimbangkan sekiranya benar-benar membawa keuntungan kepada rakyat dan menjamin kestabilan politik negeri.

Menurut beliau, pendekatan PN berbeza dengan parti lain kerana melihat permasalahan Sabah daripada perspektif nasional, bukan semata-mata tempatan.

“Contohnya isu tuntutan 40 peratus hasil pendapatan Persekutuan diperoleh dari Sabah untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri. Itu agenda nasional. Jika PN membentuk kerajaan Persekutuan, kita boleh buat keputusan itu kerana kita ada kuasa untuk melaksanakannya,” katanya.

Ronald berkata, konsep ‘Sabah Untuk Sabahan’ sering menjadi slogan perjuangan parti politik tempatan turut menjadi sebahagian agenda PN tetapi dengan pendekatan berbeza dan melihatnya daripada segi aspek nasional.

Dalam pada itu, sumber dalaman Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, mereka kekal dengan pendirian untuk bertanding secara solo pada PRN Sabah kerana setakat ini tiada perbincangan dengan mana-mana parti termasuk PN untuk membentuk kerjasama pilihan raya.

“Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebelum ini telah menegaskan bahawa Warisan kekal bertanding solo. Itu adalah pendirian tegas parti dan kami tidak pernah berbincang tentang kerjasama dengan PN atau parti lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×