PETALING JAYA: Kepentingan Laut China Selatan antara lima syor strategik dikemukakan Malaysia dalam membina kepercayaan dan kerjasama kolektif bagi menangani cabaran geopolitik serantau dan global.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, untuk beralih daripada ketidaktentuan kepada kepercayaan, hala tuju mesti dipandu bersandarkan prinsip yang jelas dan konsisten.
Justeru beliau mengesyorkan agar persaingan kuasa besar perlu ditangani secara bertanggungjawab agar ia tidak menggugat keamanan dan kestabilan di rantau ini.
“Selain itu kekuatan ketenteraan mesti diseimbangkan dengan dialog dan diplomasi. Meskipun kesiapsiagaan pertahanan adalah penting, ia mesti disertai dengan komunikasi berterusan antara negara.
“Malaysia turut mengesyorkan agar undang-undang antarabangsa harus kekal sebagai panduan utama dalam menangani isu maritim dan sempadan. Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa 1982 (UNCLOS 1982) ditegaskan sebagai asas kepada kebebasan pelayaran, ketertiban maritim serta penyelesaian pertikaian secara aman,” katanya pada sesi plenari Forum Xiangshan Beijing Ke-12 bertemakan Kepercayaan Strategik Bersama dan Kerjasama Keselamatan di Rantau Asia-Pasifik di Beijing, kelmarin.
Sementara itu katanya, Malaysia turut menekankan keperluan kerjasama yang inklusif, terutama dalam menangani cabaran global bersama seperti perubahan iklim, pandemik, keselamatan makanan dan ekonomi digital.
Menurutnya, multilateralisme juga perlu terus diperkukuh dengan mengekalkan keterpusatan ASEAN sebagai tunjang kestabilan di rantau Asia-Pasifik.
“Malaysia percaya hanya pendekatan kolektif, penggubalan peraturan secara inklusif dan pendirian berkecuali ASEAN dapat menjamin autonomi serta keseimbangan kuasa di rantau ini.
“Kita berpandangan kepercayaan hanya dapat dibina melalui komitmen bersama, menghormati prinsip undang-undang antarabangsa serta menjunjung nilai kerjasama dan dialog yang berterusan,” jelasnya.
Dalam sesi itu juga, Mohamed Khaled turut menekankan kepentingan Laut China Selatan sebagai koridor maritim penting menghubungkan utara dan timur Asia dengan seluruh dunia.
“Risiko keselamatan dan ketidakpastian di rantau ini boleh mencetuskan konflik jika tidak ditangani secara bijaksana. Cabaran masa depan perlu diurus melalui kerjasama dan pematuhan terhadap undang-undang,” katanya. – UTUSAN










